Sorting by

×

Tersalah ambil picagari kosong ketika proses vaksinasi remaja

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR 2 Okt – Seorang petugas kesihatan (penyuntik) tersalah mengambil satu picagari kosong ketika proses vaksinasi ke atas seorang remaja berusia 12 tahun yang videonya tular baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata siasatan awal oleh ProtectHealth mendapati kejadian tersebut berlaku di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) pada 30 Sept lepas.

“Dalam kejadian pukul 3.16 petang itu, petugas kesihatan tersebut telah tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.

“Petugas kesihatan telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) berkata setelah menunjukkan picagari berisi vaksin, petugas kesihatan berkenaan telah meletakkan sebentar picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.

“Bagaimanapun, beliau tersalah ambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut. Setelah selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapan beliau dan memaklumkan kepada Pegawai Perubatan yang bertugas di PPV UM.

“Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut. Setelah memahami penjelasan yang diberikan, ibu bapa remaja berkenaan telah memberi kebenaran untuk remaja tersebut diberikan suntikan vaksin di lengan yang berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata Prosedur Dos Kurang merupakan garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan yang berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan.

“Pihak CITF-A amat kesal dengan kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja yang terlibat atas kesulitan yang berlaku.

“Kejadian ini disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’. Petugas kesihatan berkenaan telah diberi amaran untuk lebih berhati-hati dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, prosedur dalaman juga telah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja yang sama ketika memberi suntikan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

563
Kongsi :
Previous post Belanjawan Melaka 2022 fokus ekonomi rakyat
Next post [TERKINI] Kerajaan negeri akan bekerja seperti biasa – KM
Ubah saiz-+=