Sorting by

×

Jantan Baba pahlawan negara berhati waja – KM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 30 Sept – Pemergian pejuang kemerdekaan negara, Jantan Baba, 96, akibat sakit tua tengah hari tadi turut mendapat perhatian Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sulaiman menerusi status Facebook (FB) rasminya hari ini berkata, beliau menerima khabar duka kepulangan ke rahmatullah Ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) itu akibat sakit tua di Hospital Alor Gajah, jam 12 tengah hari tadi.

“Pahlawan negara yang berhati waja ini pernah menerima Pingat Keberanian British Military Medal (MM) daripada Ratu Elizabeth di atas keberanian dan kecekalan Allahyarham membunuh tujuh orang pengganas komunis ketika negara masih lagi berdepan ancaman komunis.

“Kerajaan Persekutuan turut memberi pengiktirafan di atas jasa dan pengorbanan Allahyarham dengan penganugerahan Pingat Gagah Berani (PGB) manakala Kerajaan Negeri Melaka pula menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM) pada tahun 2020.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Salam takziah sekali lagi kepada ahli keluarga Allahyarham. Al-Fatihah,” katanya.

Melaka Hari Ini (MHI) pada 11 Oktober lalu pernah menyiarkan kisah bekas Pegawai Waran II Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kelahiran Kampung Melaka Pindah itu ketika mengetuai operasi menentang komunis pada 8 April 1951 di Kongkoi, Kenaboi, Negeri Sembilan.

Allahyarham ketika itu terselamat dari maut walaupun ditembak komunis dengan jarak hanya beberapa kaki, namun peluru hanya mengenai telinga kiri dan tengkuknya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1262
Kongsi :
Previous post Muhyiddin sokong pelan kerajaan laksana HSR, cadang sambung ke Thailand
Next post Program percuma sanitasi sekolah
Ubah saiz-+=