Lebih RM7.2 juta kompaun Fasa 1 dan 2 PPN
AYER KEROH 30 Sept – Polis Melaka mengeluarkan kompaun bernilai lebih RM7.2 juta atas pelbagai kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Jun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, kompaun bernilai RM7,299,000 itu membabitkan 2,226 kompaun individu dan perbadanan di bawah bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Menurutnya, statistik kesalahan pada Fasa 1 PPN bermula 1 Jun sehingga 3 September lalu menunjukkan 2,060 kompaun dikeluarkan keseluruhannya bernilai RM 6,790,500 dengan pecahan kompaun individu sebanyak RM5,880,500 diikuti RM910,000 kompaun perbadanan atau syarikat.
“Manakala sebanyak 3,544,965 kenderaan diperiksa dengan 6,603 diarah patah balik selain rentas negeri merekodkan 379,461 permohonan dengan 4,851 terpaksa ditolak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bagi Fasa 2 PPN bermula 4 September sehingga semalam pula mendapati, 166 kompaun dikeluarkan keseluruhannya bernilai RM508,500 dengan pecahan kompaun individu sebanyak RM398,500 diikuti RM110,000 kompaun perbadanan atau syarikat.
Dalam tempoh sama juga, Abdul Majid berkata, sebanyak 387,405 buah kenderaan diperiksa dengan 1,138 diarah patah balik.
“Permohonan rentas negeri pula merekodkan 26,143 pemohon dan 64 terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi kelayakan ditetapkan.
“Dengan peralihan Melaka ke Fasa 3 PPN bermula esok, kita berharap orang ramai menggunakan peluang kelonggaran ini sebaik-baiknya dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.