‘Ya Allah, dugaan ini menyakitkan’
AYER KEROH 29 Sept. – “Ya Allah, kau ambillah balik aku dah tak sanggup Ya Allah…aku tak sanggup nak terima dugaan ini lagi, dugaan ini menyakitkan, Allah tolong bantu aku.”
Itu antara rintihan Ahmad Afzal Aman, 10, yang menderita penyakit radang usus sejak Julai lalu yang pasti meruntun hati sesiapa saja jika mendengarnya.
Ibunya, Norhayati Ismail,33, berkata setiap hari juraian air mata membasahi pipi tidak terhitung dek kerana memikirkan nasib anak sulung dari dua beradik itu.
Katanya simptom radang usus itu dikesan Julai lalu apabila anaknya kerap muntah-muntah, tiada selera makan dan berat badan susut mendadak.
“Afzal juga kerap mengadu sakit perut sebelum saya membawanya untuk pemeriksaan di sebuah pusat perubatan swasta di bandar Melaka yang mana doktor mengesyaki dia menghidap apendiks dan dibedah pada 28 Julai lalu.
“Namun, selepas pembedahan dan keluar dari hospital pada 2 Ogos lalu, sakit anak tidak berkurangan malah dia lemah dan kurang aktif,” katanya ketika dihubungi MHI.
Menurut Norhayati anaknya juga kerap mengadu berasa sakit ketika membuang air besar selain mengalami kaki kejang.
“Keadaan itu berlarutan hingga hujung Ogos lalu dan saya membawanya ke klinik swasta di Bukit Katil sebelum disaran merujuk anak ke hospital swasta lain untuk ujian darah, namun saya membawa Afzal klinik kesihatan kerana tidak mampu.
“Doktor syak anak saya menghidap leukimia dan keputusan ujian hanya akan diketahui pada September,” katanya.
Katanya, tidak sanggup melihat penderitaan anak dia dan suami Aman Omar, 34, nekad mengeluarkan kos untuk ujian darah kedua di sebuah pusat perubatan swasta lain dan bersyukur anak mereka tidak menghidap leukemia.
Norhayati berkata, biarpun sudah membuat ujian darah, anaknya terus mengalami simptom sama sebelum dia nekad merujuk semula ke pusat perubatan tempat anaknya dibedah pada 19 September lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan doktor pakar bedah dan imbasan CT dia dinasihati membawa Ahmad Afzal menjalani rawatan di Kuala Lumpur kerana tiada doktor pakar usus kanak-kanak di Melaka.
“Saya membawa anak ke sebuah pusat perubatan swasta di Sunway, Petaling Jaya pada 21 September lalu menaiki ambulans dan doktor yang merawatnya mengesahkan 70 peratus anak saya menghidap radang usus.
“Masa tu saya hanya mampu berdoa dan bagi semangat dekat anak supaya terus kuat untuk hadapi ujian ini,” katanya sebak.
Katanya kos rawatan Ahmad Afzal sangat mahal di hospital swasta iaitu sekitar RM8,000 hingga RM9,000 bagi setiap satu kali suntikan ubat sedangkan suaminya hanya seorang tentera selain mereka turut menanggung anak perempuan, Aisyah Afina berusia tujuh tahun.
“Dua bulan sekali dia perlu disuntik ubat dengan kos RM8,000 ke RM9,000 sekali rawatan, sebab itu saya minta dapat rujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang jauh lebih murah iaitu sekitar RM4,000.
“Pihak HKL dah beri maklum balas untuk rawatan susulan anak selepas ini dan untuk sementara saya akan teruskan di hospital Sunway ini supaya ubat anak saya tidak terputus, saya tak sanggup lihat dia sakit setiap hari.
“Bagi kos ubat-ubatan harian pula mencecah hingga RM600 sebulan, tapi sebagai ibu bapa saya akan usahakan untuk cari juga duit dan pernah juga terlintas untuk jual kereta sebelum ini,” katanya.
Ujarnya turut bersyukur kos rawatan pembedahan dan kemasukan ke hospital ditanggung insurans anaknya, namun kos rawatan susulan dan ubatan perlu ditanggung sendiri.
Orang ramai yang ingin membuat sumbangan ikhlas boleh menyalurkannya kepada akaun Maybank 154026825291 (Norhayati Binti Ismail).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.