Sorting by

×

Lebih 100,000 veteran ATM belum mendaftar dengan JHEV- Ikmal Hisham

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengesan lebih 100,000 bekas anggota dan pegawai ATM yang tidak berdaftar dengan jabatan itu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, usaha itu bagi membolehkan bekas ATM menikmati segala kemudahan dan bantuan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan termasuk kemudahan perubatan.

“Mungkin ada ahli keluarga yang tidak menyedari datuk atau ayah mereka adalah veteran jadi bolehlah bantu mereka untuk mendaftar secepat mungkin dengan JHEV.

“Pada masa ini, terdapat lebih 300,000 bekas anggota ATM dikenal pasti namun hanya 211,924 sudah mendaftar dengan jabatan itu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pusat perkhidmatan setempat JHEV ATM di Menara TH Perdana di sini hari ini.

IKMAL Hisham (duduk) menunjukkan contoh kad veteran ATM selepas majlis perasmian pusat perkhidmatan setempat JHEV ATM di Menara TH Perdana di sini hari ini. Foto Facebook JHEV.

Beliau berkata daripada jumlah yang mendaftar JHEV, seramai 104,760 adalah anggota yang berpencen, 82,031 tidak berpencen manakala 25,133 lagi menerima pencen terbitan.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, kementeriannya melalui JHEV ATM bercadang untuk mewujudkan pusat perkhidmatan setempat bergerak bagi menyampaikan perkhidmatan kepada warga veteran ATM di seluruh negara.

Menurut beliau pusat itu secara tidak langsung akan membantu dalam proses menjejaki veteran yang belum berdaftar dengan jabatan berkenaan.

Katanya hasrat penubuhan pusat itu untuk memberikan perkhidmatan yang menyeluruh dengan lebih efektif merangkumi perkhidmatan permohonan atau semakan, faedah kematian, menguruskan kemudahan perubatan dan tanggungan serta banyak lagi.

Beliau berkata sistem penyampaian perkhidmatan yang diintegrasikan dengan kemudahan digital bukan sahaja memudahkan para veteran serta memberi impak positif kepada JHEV tetapi juga menjimatkan masa.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

980
Kongsi :
Previous post Seramai 10,317 individu muflis sepanjang PKP
Next post Melaka benar solat Jumaat kapasiti penuh bermula 1 Oktober
Ubah saiz-+=