Sorting by

×

Inisiatif Melaka Milkbank salur susu untuk 901 kanak-kanak di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

MALIM 28 Sept. – Seramai 901 anak-anak memerlukan di negeri ini mendapat manfaat menerusi inisiatif Melaka Milkbank yang diwujudkan sejak Jun lalu.

Pengasasnya, Donald Lee berkata, inisiatif itu dilaksanakan atas kesedaran untuk membantu masyarakat terkesan akibat pandemik COVID-19 tanpa mengira bangsa.

Katanya, setakat ini pihaknya memperuntukkan RM70,000 bagi membantu keluarga terkesan yang dikenal pasti.

“Pada awalnya kita hanya nak tolong satu atau dua keluarga tapi hampir setiap hari ada saja yang mohon bantuan susu.

“Kita agihkan susu dari rumah ke rumah seminggu sekali, setakat minggu lepas kita dah bantu seramai 901 anak-anak daripada 580 keluarga memerlukan.

“Sehingga kini sejumlah RM70,000 diperuntukkan bagi bantuan tersebut hasil sumbangan daripada ramai pihak,” katanya.

DONALD (kiri) dan Fuan Juan (kanan) menyampaikan susu formula kepada penerima sumbangan Nur Faridah Che Mat, 24 di Taman Malim Jaya.

Beliau berkata, demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas menyerahkan bantuan susu di Taman Malim Jaya di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri Melaka, Yong Fuan Juan.

Menurut Donald, pihaknya memilih untuk memberi bantuan susu kerana dia tahu bayi berusia lima bulan ke bawah hanya mengharapkan makanan asas seperti susu formula.

“Saya rasa syukur dapat bantu orang susah sewaktu pandemik…dalam waktu ini bukan orang Malaysia saja terkesan tapi semua rakyat hadapi masalah.

“Setiap bayi atau kanak-kanak diberikan percuma tiga pek susu formula sebulan sekali, jika anak dia dua orang, keluarga itu akan terima enam pek susu,” katanya.

Katanya bantuan itu bukan hanya diberikan kepada warga Malaysia yang memerlukan, malah warga asing turut diberi perhatian.

ANTARA susu formula yang diberikan kepada golongan memerlukan.

“Walaupun penerima kebanyakan orang Melayu tapi kita tak kisah sebab kita patut tolong sesiapa saja tak kira siapa.

“Lebih kurang lima peratus penerima adalah warga asing seperti orang Indonesia,” katanya lagi.

Sementara itu, Fuan Juan berkata, pihaknya turut menyarankan supaya mana-mana pihak yang berkemampuan boleh melaksanakan insiatif sama untuk membantu rakyat di negeri ini.

“Kalau ada pihak yang dapat memberi sokongan atau sumbangan sebegini memang dapat meringankan beban mereka.

“Ini satu inisiatif atau khidmat masyarakat yang perlu dipuji, terima kasih kepada Donald dan kita harap sesiapa yang memerlukan bantuan susu ini boleh tampil dan mendaftar di Google form disediakan.

“Saya harap inisatif ini dapat membantu ramai penerima selain mewujudkan keikhlasan antara satu sama lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Kementerian Pengangkutan tidak pernah arah warga emas kembalikan lesen memandu
Next post KKM disaran buat kajian teliti berkaitan dos ketiga.
Ubah saiz-+=