Sulaiman puas hati perbahasan baik, sidang DUN Melaka lancar

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SERI NEGERI 23 Sept. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berpuas hati dengan perjalanan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 selama empat hari berakhir hari ini.

Beliau berkata ia berikutan sidang bukan saja berjalan lancar, malah pembabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam berbahas juga amat baik.

“Sepanjang empat hari tempoh persidangan ini saya bersama rakan-rakan bagi pihak kerajaan dan pembangkang saya agak berpuas hati tidak seperti sebelum ini.

“Kali ini nampaknya pembahas boleh saya katakan baik pembahasannya. Banyak intipati dilontarkan pihak pembangkang kepada pihak kerajaan.

“Begitu juga pihak kerajaan dapat memberikan jawapan-jawapan untuk soalan-soalan yang bagi saya cukup tuntas untuk mereka terima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penangguhan sidang oleh Speaker DUN Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sulaiman berkata, berbanding persidangan sebelum ini, kali ini sedikit berbeza kerana hanya empat jam masa bersidang mengikut kelulusanMajlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita buat seperti mana berlaku di Parlimen…ada blok lutsinar yang dibenarkan. Kita di Melaka mengikuti apa sahaja keputusan yang telah diberikan nasihat daripada pihak-pihak berkepentingan.

“Jadi setiap ahli-ahli DUN nak masuk sebelum hari Jumaat semua kena buat ujian PCR hinggalah Isnin, Selasa dan hari ini.

“Setiap kali datang termasuk para media dikehendaki membuat ujian saliva,” katanya.

Beliau juga bersyukur apabila usul Memperkukuhkan Maksud Tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) diluluskan sebulat suara ADUN.

“Hari ini dewan sebulat suara bersetuju termasuklah mereka di pihak pembangkang yang bukan Muslim telah menyokong usul memperkukuh ASWJ untuk dijadikan pegangan buat umat Islam di negeri Melaka agar pindaan satu enakmen dibuat dalam Seksyen 2,
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002.

“Saya begitu bersyukur kerana usul pada hari ini saya kira begitu penting akhirnya dapat kita angkat untuk memperkuat dan memartabatkan lagi enakmen pentadbiran agama Islam terutama dalam memperkukuh maksud tafsiran ASWJ.

“Pada keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan perjalanan sepanjang perjalanan Sidang Dewan. Jadi, Alhamdulillah semua dapat berjalan dengan lancar sekali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

521
Kongsi :
Previous post Melaka jangka masuk Fasa 3 pertengahan Okt
Next post Lepaskan abu: KM sudah kenal pasti lokasi upacara keagamaan Hindu.
Ubah saiz-+=