Melaka tidak tergesa-gesa buka sektor pelancongan tanpa SOP mantap- Muhammad Jailani
SERI NEGERI 22 Sept. – Kerajaan negeri tidak terburu-buru untuk membuat keputusan membuka kembali sektor pelancongan selagi ia tidak mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tepat.
Exco Pelancongan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia berikutan terdapat beberapa kes positif COVID-19 yang dikesan di Pulau Langkawi selepas destinasi itu dibuka menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan baru-baru ini.
“We won’t rush (kami tidak akan tergesa-gesa) sebab kita nak satu saja… a very specific SOP (SOP yang spesifik) untuk pelancongan iaitu garis panduan.
“Saya paling takut kluster pelancongan, kita tengok maklum balas daripada Pulau Langkawi, what is happen there? (apa yang berlaku di sana?).
“Kita mengalu-alukan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bahawa tiga lagi destinasi pelancongan yang ingin dibuka kepada pelancong domestik.
“Tapi kita kerajaan negeri tak akan terburu-buru nak buka pintu sehingga kita mendapat maklum balas apa yang berlaku di Langkawi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Tun Muktahir di Seri Negeri, hari ini.
Muhammad Jailani berkata, pada masa sama kerajaan negeri sedang menunggu ketetapan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar satu SOP khusus dapat diperuntukkan kepada sektor pelancongan.
“Apabila SOP ini dimuktamadkan, maka kita ada pemantauan dari segi pelaksanaannya dan apa saja dilakukan tak bertentangan dalam SOP pelancongan yang ditetapkan oleh MKN.
“Kita minta MKN wujudkan satu SOP khusus untuk pelancongan, bila aktif baru kita boleh laksanakan.
“Kalau tidak kita akan buat SOP sendiri yang tak ada punca kuasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.