Kota Al Hasanah berpotensi dijadikan produk pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 21 Julai – Kewujudan Kota Al Hasanah di Sungai Rambai berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan Islam di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, kota berkenaan yang berfungsi sebagai pusat kegiatan Islam di gerbang selatan Negeri Melaka itu bakal menjadi nilai tambah pembangunan ekonomi kawasan.

Justeru, cadangan untuk menaik taraf kawasan berkenaan dengan membina hotel bajet patuh syariah seperti yang dibangkitkan Datuk Hasan Abd Rahman (BN-Sungai Rambai) dalam soalan lisan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dipertimbangkan kerajaan negeri.

“Kita percaya pertumbuhan pelancongan Islam di negara-negara Islam seharusnya menjadi sumber pendapatan negeri selain sumber semula jadi seperti pertanian atau perindustrian.

“Kita percaya Kota Al Hasanah boleh dijadikan sebagai tempat penginapan bagi pengunjung yang datang untuk lawatan sambil belajar dan penempatan dalam bidang pelancongan, dengan menjadikan kota ini sebagai satu kajian dalam pembangunan islamik.

“Kerajaan negeri tidak menolak pembinaan ‘islamic budget hotel’ ini boleh dilaksanakan menggunakan kaedah penswastaan di mana ia boleh dilaksanakan pihak swasta,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pembinaan hotel berkenaan tidak akan berlaku dalam masa terdekat memandangkan negara masih berperang dengan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, mengulas mengenai operasi agensi dan jabatan berkaitan Islam di Kota berkenaan yang sebelum ini dihentikan pada 2018, Sulaiman memberitahu, pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedia untuk mengembalikan perkhidmatan operasi berkenaan sekiranya ia masih diperlukan.

“Pengwujudan agensi berkaitan di kawasan ini akan dipertingkatkan sekiranya terdapat permintaan daripada masyarakat setempat,” katanya.

Views:

377
Kongsi :
Previous post Mohon bina tangki air baharu SMK Lubok China
Next post Agong kurnia biasiswa kepada 11 pelajar
Ubah saiz-+=