Sorting by

×

Perkampungan nelayan Tanjung Dahan mula terima kunjungan masyarakat luar

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LINGGI 19 Sept – Perkampungan nelayan Tanjung Dahan di kawasan terpencil di sini, mula menerima kunjungan masyarakat luar sejak minggu lalu, sekali gus menceriakan peniaga warung makan.

Peniaga terbabit yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak Jun lalu, mula menerima kunjungan pelanggan tetap yang hilang akibat PKP.

Mereka kini kembali ceria apabila warung berkonsepkan alam semulajadi di pantai, mula dipenuhi pelanggan berbanding sebelum hanya bergantung pada hasil jualan makanan dan minuman bungkus.

Norain Nordin, 33, berkata mereka amat bergantung kepada pelanggan luar terutama penggemar aktiviti makan bersama-sama anggota keluarga dalam suasana kampung.

“Sebelum PKP, kebanyakan pelanggan datang dari bandar tetapi apabila PKP dilaksanakan, kami kehilangan pelanggan dari bandar.

“Alhamdulillah, keadaan sekarang semakin baik apabila kerajaan membenarkan makan di kedai atau ‘dine-in’ dan pelanggan muncul kembali,” katanya di warungnya hari ini.

WARUNG asam pedas peniaga di perkampungan nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi mula dipenuhi pelanggan sejak minggu lalu.

Dia berkata, walaupun penjualan secara bungkus dibenarkan sebelum ini, ia masih tidak mampu menampung kos operasi berbanding makan di kedai.

Katanya, kebanyakan tetamu yang menginap di chalet dan inap desa di perkampungan yang dihuni nelayan menangkap ikan dengan kaedah tradisional itu, amat menggemari aktiviti bersantai di bawah pokok sambil menikmati asam pedas bersama anggota keluarga.

Pelanggan, Noor Azilah Mohamad, 48, berkata dia dan dua anak tidak melepaskan peluang kebenaran ‘dine-in’ yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin.

“Alhamdulillah, sekarang kami sudah boleh menikmati asam pedas di bawah pokok di pantai ini dengan suasana nyaman dan damai seperti mana yang kami nikmati sebelum PKP.

“Suasana tenang ini adalah daya tarikan utama mengapa saya dan pelanggan lain sanggup datang ke kawasan terpencil ini,” katanya.

Dia berkata, pantai di kampung itu yang sebelum ini sepi tanpa pengunjung yang berkelah, sekarang sudah dihiasi dengan hilai tawa pelancong tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1567
Kongsi :
Previous post Jangan cemari pantai Melaka dengan sampah – KM
Next post Daftar vaksin anak 12-17 tahun secara sukarela di MySejahtera
Ubah saiz-+=