Kejayaan hadiah buat arwah bapa
LENDU 18 Sept – Sorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM) 2020 hari ini bersyukur mendapat wang tunai dan caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) namun sedih diraikan tanpa bapanya di sisi.
Aliya Azhar, 20, berkata, pemergian arwah bapanya, Azhar Ahmad akibat barah usus pada Februari lalu amat mencabar konsentrasinya untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mulai 8 Mac lalu.
“Namun saya pegang kuat pesanan arwah ayah supaya menuntut ilmu bukan untuk mengejar pekerjaan yang baik, sebaliknya sebagai panduan untuk kejayaan di dunia dan akhirat.
“Saya menunaikan permintaan arwah ayah supaya melangkah ke menara gading sebagai membuka laluan untuk dijejaki dua adik,” kata Aliya Azhar, 20.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin, itu berkata, kejayaannya itu juga adalah berkat doa dan nasihat ibu tercinta, Rosalinda Jahari, 45, sehingga dia berjaya mengharungi cabaran ‘perang’ emosi kerana baru kehilangan bapa tersayang.
Namun demikian, dia amat bersyukur apabila Allah menganugerahkan kejayaan cemerlang kepadanya dengan memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.17.
“Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa ibu, saya, kakak dan dua adik dan insya-Allah saya akan mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 3 Oktober depan,” katanya selepas menerima anugerah kecemerlangan pelajar STPM 2020 daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah, di sini hari ini.
Seramai 26 bekas calon STPM dan 150 bekas calon Sijil Pelajaran Malaysia 2020 dalam Parlimen Masjid Tanah yang mencapai kejayaan cemerlang, menerima wang tunai antara RM200 hingga RM800, selain caruman SSPN bernilai RM200 setiap seorang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.