Sorting by

×

Abd Malik juara Pidato Rukun Negara Yang di-Pertua Negeri Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 16 Sept. – Guru Bahasa Melayu, Abd Malik Mohammad Shah muncul johan Pertandingan Pidato Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat Peringkat Kebangsaan, Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, hari ini.

Abd Malik juga merangkul johan bagi Kategori Awam mengalahkan dua pesaingnya dari Terengganu dan Melaka sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, piala iringan, buku biografi Yang di-Pertuan Agong, buku biografi TYT dan sijil penyertaan.

Dia yang merangkul johan keseluruhan sebagai Pemidato Terbaik membawa pulang Piala Pusingan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka beserta sijil penyertaan menewaskan 14 lagi peserta dari seluruh negeri dari Semenanjung selain Sabah dan Sarawak.


ABD Malik turut dinobatkan johan bagi Kategori awam.

Dalam ucapan selama 10 minit itu, anak muda dari Johor ini bercakap mengenai ‘Rukun Negara Tonggak Perpaduan Bangsa’ yang berjaya menarik perhatian juri.

Sementara itu, johan Kategori Sekolah Rendah menjadi milik Hayfa Adni Nasaruddin dari Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya, Pahang.

Johan Kategori Sekolah Menengah, Aiena Batrisyia Sulaiman dari Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan manakala Khairul Aizat Yusoff dari Pulau Pinang yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak Selangor muncul johan Kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Sementara itu, johan pidato Kategori Bukan Melayu dimenangi P. Selvi dari Melaka yang merupakan tutor sambilan.

SESI pengumuman pemenangan dilaksanakan secara maya di Facebook rasmi Kerajaan Negeri Melaka, hari ini.

Setiap pemenang termasuk saguhati turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300 hingga RM5,000.

Terdahulu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam telah menyempurna serta menyaksikan pertandingan tersebut.

Ketibaan beliau kira-kira jam 9.20 pagi itu diiringi Exco Perpaduan Negeri, Datuk Wira Ar. Ismail Othman.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Pendidikan Negeri, Datuk Noor Effandi Ahmad dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post Yong Tai – rakan kongsi baharu China bangunkan semula ‘Impression City’ di Melaka
Next post Melaka larang guru agama anti vaksin mengajar di masjid
Ubah saiz-+=