Sorting by

×

COVID-19 rampas kebahagiaan saya, anak-anak

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MASJID TANAH 15 Sept – “COVID-19 rampas kebahagian saya dan anak-anak,” kata Ainun Fadzilah Mohamed Saaid yang kematian suami, Azizan Hasan di Hospital Melaka kira-kira sebulan lalu akibat Covid-19.

Menurut Ainun, 36, pesanan terakhir Azizan, 43, sebelum ditidurkan selama sembilan hari agar tabah menjalani kehidupan, menjadi penguat semangat dirinya untuk membesarkan tiga anak mereka, Azizuddin, 11, Azzahra, 9, dan Azzalea, 5 tahun, secara bersendirian.

Katanya, dia dan Azizan sebelum ini mengusahakan kedai runcit dan aksesori alat tulis di sebuah bangunan yang sama di Masjid Tanah.

AINUN Fadzilah.

“Sikap arwah agak berubah apabila beriya-iya mahu menguruskan pengambilan bekalan barang-barang ke kedai kami yang kebiasaannya saya yang uruskan.

“Ini kerana, keadaan suami yang tidak berapa sihat kerana menghidap penyakit gaut dan mudah penat, jadi, saya yang biasa uruskan kerja-kerja itu tetapi suami berkeras agar saya tunggu di kedai sahaja.

“Disebabkan arwah suami berulang-alik menguruskan urusan bekalan barangan dan sentiasa berada di luar rumah atas tujuan itu, dia mendapat jangkitan COVID-19 dan ditambah lagi dengan faktor kesihatan suami, arwah tidak mampu bertahan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

Ainun ditemui ketika pada majlis lawatan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Manusia, Datuk Wira Ar. Ismail Othman dan Pengarah PERKESO Melaka, Abd. Razak Omar sempena program Bantuan dan Faedah Prihatin PERKESO di rumahnya dekat Taman Sentosa di sini.

Pada majlis itu, Ismail menyampaikan sumbangan Faedah Penakat atau pencen bulanan berjumlah RM1,912.50 dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada Ainun sebagai waris Azizan yang mencarum dengan PERKESO sewaktu bertugas dengan MAIM Holdings Berhad tahun lalu.

Menurut Ainun, sewaktu suami disahkan positif COVID-19 pertengahan Julai lalu, virus itu turut menjangkiti dirinya dan anak-anak namun tidak serius dan masih di peringkat tahap awal.

“Alhamdulilah, sumbangan Faedah Penakat PERKESO ini sekurang-kurangnya dapat membantu saya dalam menguruskan keperluan anak-anak setelah kematian suami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post Selawat Jibril wasiat terakhir suami
Next post Tabika, taska, pusat jagaan harian dibenarkan beroperasi di negeri fasa 1 dan 2 PPN
Ubah saiz-+=