Sorting by

×

Mayat lelaki dalam keadaan berulat dijumpai di Jalan Serting Hilir

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

JEMPOL 15 Sept – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dengan keadaan mayatnya kembung dan berulat di tebing sedalam 7.4 meter dari bahu jalan di Jalan Serting Hilir di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mayat Sylvester Paren Joseph, 26, dijumpai bersama motosikal jenis Yamaha Lagenda oleh seorang wanita pada 2.30 petang dan memaklumkan kepada polis.

“Mangsa (Sylvester) dipercayai meninggal dunia sejak seminggu lepas berdasarkan keadaan mayatnya itu. Siasatan awal mempercayai mangsa terbabit kemalangan ketika hendak pulang ke rumahnya di Serting Hilir.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikalnya dipercayai terbabas ke kiri jalan lalu jatuh ke tebing itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

KETUA Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook. Foto- thesundaily.

Hoo berkata tarikh dan masa sebenar kemalangan tidak dapat dipastikan namun kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira seminggu lepas.

Beliau berkata, tiada unsur jenayah ditemukan setakat ini dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Dalam kejadian lain, Hoo berkata seorang penghantar makanan Foodpanda, Muhammad Haziq Muhammad Hidhir, 19, maut selepas motosikal jenis Yamaha ditungganginya dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Unser dalam nahas di Bahau, di sini kira-kira 6 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati apabila mangsa (Muhammad Haziq) tiba di tempat kejadian, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah bertentangan membelok masuk ke simpang sebelah kiri motosikal itu,” katanya.

Hoo berkata kemalangan menyebabkan Muhammad Haziq cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 72 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat Muhammad Haziq turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post Lebih 17 juta populasi negara lengkap divaksin
Next post Keputusan kemasukan ke UA dikeluarkan hari ini- KPT
Ubah saiz-+=