Harimau baham ayam hutan bukan di Bukit Rambai – PERHILITAN
BANDAR MELAKA 13 Sept – Rakaman seekor harimau kumbang membaham seekor ayam hutan yang tular dalam Facebook disahkan bukan berlaku di negeri ini.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka hari ini menafikan rakaman klip video itu kononnya berlaku di Kampung Seberang Gajah, Bukit Rambai, Tanjung Kling di sini.
Pengarahnya, Mohd Firrdhaus Mahmood menjelaskan, pegawai jabatan itu sudah berkomunikasi dengan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Serama Bob Melaka’ bagi mendapatkan penjelasan mengenainya.
Pemilik akaun itu menjelaskan, dia hanya memanjangkan hantaran seorang kawan di tamannya dan meminta orang ramai supaya berhati-hati jika menangkap ayam hutan di kawasan itu, katanya.
Beliau menegaskan, beberapa pegawai PERHILITAN sudah menjalankan siasatan di lokasi dinyatakan dalam klip video itu dan mendapati ia tidak sama seperti yang ada dalam rakaman berkenaan.
“Hasil siasatan kami terhadap video tular di Facebook mengenai kejadian itu (harimau kumbang membaham ayam hutan) di Melaka, tidak benar.
“Pegawai kami sudah melakukan siasatan di lapangan dan mendapati lokasi yang didakwa tidak menepati seperti dalam video,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas rakaman seekor harimau kumbang menyerang dan membaham seekor ayam hutan yang diikat dalam semak, dipercayai dijadikan denak untuk menarik perhatian ayam hutan yang lain supaya menghampirinya sebelum terkena racik.
Hantaran itu mendakwa ia berlaku di kampung berkenaan dan sesiapa yang memerangkap ayam hutan diminta berhati-hati bagi mengelak diserang haiwan ganas itu.
Mohd Firrdhaus menjelaskan, aktiviti memburu ayam hutan atau nama saintifiknya ‘Gallus gallus’dibenarkan dengan syarat memiliki lesen memburu yang sah, selain membayar permit khas RM10 bagi seekor haiwan liar itu.
“Musim berburu ayam hutan mulai 1 Mei hingga 31 Ogos setiap tahun dan masa untuk memburu dari jam 7 pagi hingga 7 malam sahaja.
“Aktiviti ini tidak boleh dilakukan di kawasan larangan memburu dan mereka yang melakukan kesalahan boleh didakwa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.