Penolong Pegawai Kesihatan mengaku tidak bersalah terima rasuah

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 13 Sept – Seorang Penolong Pegawai Kesihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM31,000 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ab Hanif Ab Hamid, 40 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan satu hingga sembilan, tertuduh yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Tertuduh didakwa mendapatkan suapan dengan terlibat dalam permohonan bagi pembekalan peralatan tandas kepada syarikat perniagaan milik adiknya, Perniagaan Thronez Enterprise.

Ia melibatkan sembilan kerja pembekalan keperluan bagi Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS), PKD Jasin membabitkan pelbagai barangan termasuk peralatan tandas, cat, racun, mesin rumput dan skru yang keseluruhannya bernilai RM31,099.50.

Perbuatan itu dilakukan di Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS), PKD Jasin antara 4 Julai hingga 28 November 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Sekayen 24(1) akta sama.

Justeru, tertuduh boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Syakila Yaacob mencadangkan jumlah jaminan berjumlah RM5,000 bagi kesemua pertuduhan, selain syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Tertuduh yang diwakil Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin hanya bersetuju dengan jaminan dan syarat ditetapkan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Elesabet dalam penghakimannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan perlu melaporkan diri dua bulan sekali di pejabat SPRM.

Mahkamah menetapkan 20 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

861
Kongsi :
Previous post Jangan cepat terleka, puas hati terhadap usaha kekang COVID-19, titah Agong
Next post JAIM lakar sejarah anjur sayembara pantun berunsur Islam
Ubah saiz-+=