Sorting by

×

Wanita galas peranan besar selepas COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 11 Sept – Wanita memerlukan kekuatan dari segi mental dan fizikal sebagai persediaan untuk mengadaptasi kehidupan dalam endemik COVID-19.

Penasihat Khas kepada Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini, wanita berdepan tanggungjawab yang mencabar kerana perlu menggalas tanggungjawab sebagai pekerja dan pada masa sama memastikan keselamatan ahli keluarga terjamin.

Bukan itu sahaja, malah katanya wanita juga perlu memastikan pendidikan anak-anak tidak keciciran dan perkara itu menyebabkan golongan itu tidak menang tangan menghadapi pandemik COVID-19.

“Pada saya, wanita memerlukan kekuatan, iaitu kesediaan untuk beralih daripada kehidupan biasa kepada kehidupan menjadikan COVID-19 sebahagian dalam hidup (endemik).

“Sebenarnya penggerak utama untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan adalah wanita kerana saya rasa kaum bapa, kepedulian mereka tidak sehebat wanita.

“Jadi, dari segi tindakan kerajaan, wanita harus menyokong dan mendokong kerana mereka (kerajaan) mempunyai penilaian serta rancangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Program Bicara Tokoh Politik ‘Wanita Malaysia Merdeka’ anjuran Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka menerusi Google Meet hari ini.

Hadir sama menjadi ahli panel, Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Program berkenaan turut dikendalikan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah selaku moderator.

Menurut Rosnah, dalam persediaan menghadapi endemik COVID-19, wanita juga perlu memainkan peranan menggalakkan program vaksinasi dalam kalangan ahli keluarga serta orang di sekeliling mereka.

“Kita mulakan dengan keluarga dan orang sekeliling kita kerana tanggungjawab kita adalah mereka, kemudian beralih kepada menggalakkan program vaksinasi dalam kalangan masyarakat luar.

“Keduanya, peranan yang boleh dimainkan oleh wanita ialah sebagai ibu untuk memastikan pendidikan anak berjalan lancar.

“Selain itu, peranan kita sebagai pemimpin adalah menyahut cabaran menjadi sukarelwan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan walaupun peranan itu kecil tetapi mampu memberikan impak lebih besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post Tiga faktor punca tiada sijil digital di Mysejahtera – Dr Adham
Next post Orang awam selamatkan 32 anak penyu karah sesat di pantai PD
Ubah saiz-+=