Sorting by

×

Wanita rugi RM20,800 diperdaya pelaburan palsu

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

SEREMBAN 10 Sept – Seorang wanita mengalami kerugian RM20,800 akibat diperdaya pelaburan palsu dalam talian di Kuala Pilah, dekat sini Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mulanya wanita itu menerima pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp daripada nombor tidak dikenali yang menawarkan kerja menjual barangan secara dalam talian pada 4 September.

Beliau berkata keesokan harinya wanita berusia 32 tahun itu menerima bayaran sebanyak RM230, kononnya kerana telah ‘berjaya’, sebelum suspek ‘memancing’ wanita itu untuk membuat satu pelaburan pada 6 September.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Superintendan Aibee Abd Ghani. Foto- FB JSJK N.9

“Akibat percaya, wanita itu bersetuju dan kemudian membuat pemindahan wang ke dalam akaun seorang individu sebanyak tujuh kali dengan nilai keseluruhan RM20,800.

“Kesemua wang itu dimasukkan susulan wanita itu dijanjikan keuntungan yang banyak, dan wanita itu ada menghubungi suspek pada 8 September lepas untuk meminta wang yang dijanjikan, sebelum nombor telefonnya disekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aibee berkata wanita itu membuat laporan polis pada hari yang sama setelah menyedari ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post Pemandu lori rempuh lima kenderaan didakwa memandu di bawah pengaruh dadah
Next post Sambutan Hari Malaysia diadakan dengan SOP ketat – KSU KKMM
Ubah saiz-+=