Polemik, perpecahan politik hanya bantutkan usaha Malaysia perangi COVID-19 – Muhyiddin
KUALA LUMPUR 10 Sept – Perkara terakhir yang diperlukan oleh negara ini adalah lebih banyak polemik, perpecahan politik atau sosial yang mampu mengalih perhatian rakyat daripada tugasan mendesak serta usaha memerangi COVID-19 dan membina semula ekonomi, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Nasional (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Senada dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar Keluarga Malaysia bersama-sama mencergaskan kembali negara ini, beliau berkata rakyat perlu berganding bahu dalam semangat ‘Keluarga Malaysia’ kerana berkongsi masa depan dan nasib yang sama apabila negara menjadi taruhan jika mereka tidak bekerjasama membangkitkan semula Malaysia.
“Saya menggesa semua rakyat Malaysia bersatu padu. Kita mesti mengetepikan semua perbezaan sama ada dari segi politik, perniagaan, masyarakat atau keluarga untuk menggabungkan kekuatan kolektif kita dalam usaha memerangi COVID-19,” katanya dalam ucapan penutup Sidang Kemuncak Pemulihan Nasional semalam yang berlangsung secara maya.
Pengerusi MPN yang baharu dilantik itu berkata, majlis tersebut akan mengambil pandangan dan cadangan yang dikemukakan pada sidang kemuncak hari ini dan meneliti maklum balas yang diterima secara menyeluruh.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, peperangan menentang COVID-19 hanya boleh dimenangi dengan terus mengutamakan pendekatan seluruh negara yang merangkumi semua sektor dan kumpulan di Malaysia.
“Ini adalah pendekatan inklusif yang melibatkan seluruh masyarakat berganding bahu dalam peperangan ini. Oleh itu, penyertaan kerajaan, sektor swasta, NGO (badan bukan kerajaan), doktor, petugas kesihatan dan sukarelawan adalah penting sekiranya kita ingin berjaya,” katanya.
Muhyiddin berkata, kemunculan varian Delta COVID-19 baru-baru ini, yang penyebarannya lebih pantas dan jauh lebih berbahaya adalah penyebab di sebalik lonjakan kes bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia termasuk Asia Tenggara.
Beliau berkata oleh itu, rakyat Malaysia tidak boleh leka dan perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman virus yang terus mengancam negara.
“Kita perlu terus meningkatkan pengurusan pandemik COVID-19 terutama dalam memanfaatkan teknologi baharu dan secara konsisten meningkatkan keupayaan tindak balas fizikal serta digital dalam menguji, mengesan dan mengasingkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.