Bekas pegawai JAIM direman lima hari bantu siasatan seleweng RM195,765.75
AYER KEROH 8 Sept – Seorang bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan kutipan bayaran gaji guru kontrak bernilai RM195,765.75 empat tahun lalu.
Perintah reman bermula hari ini hingga Ahad dikeluarkan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek ditahan selepas dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bayaran balik emolumen lebihan gaji kakitangan kontrak JAIM berjumlah RM195,765.75 yang tidak diterima jabatan itu bermula tahun 2017 hingga 2018.
Terdahulu, suspek berusia 36 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah di sini pada jam 8.35 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Mohd Shahril Che Saad SPRM dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan ketika memberi keterangan pada jam 11.45 pagi semalam di pejabat SPRM Melaka.
Katanya, ketika kejadian, suspek bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir gred N32 di Pejabat Pengurusan Sumber dan Manusia JAIM.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.