Pidato galak rakyat berhujah secara berhemah, bersopan santun

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

MELAKA 8 Sept – Perkembangan teknologi dan kebebasan bersuara di negara ini bukan tiket bagi rakyat termasuk pemimpin untuk mengkritik secara radikal sehingga mempertikaikan isu-isu kenegaraan terutama yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Ketua Kluster Warisan dan Peradaban Universiti Islam Malaysia, Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, rakyat boleh memberi pandangan mereka tentang sesuatu isu tetapi ia perlu dizahirkan secara berhemah, bersopan-santun dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dengan mengamalkan semangat berpidato.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu berkata, menerusi pidato rakyat diajar tertib dan kaedah berhujah atau berbahas tentang sesuatu isu menggunakan bahasa yang sopan dan berdasarkan fakta untuk menyampaikan mesej tertentu tanpa emosi semata-mata.

“Semangat pidato sebenar bukan seperti yang kita saksikan di sidang Parlimen kerana pemimpin politik bergaduh antara kerajaan dan pembangkang dengan mengeluarkan ucapan tidak sopan, bercakap kasar selain berhujah dengan terjerit-jerit serta tidak menghormati sesama mereka.

“Justeru, semangat berpidato perlu diterapkan dalam jiwa generasi muda pelbagai kaum di negara ini dengan menganjurkan lebih banyak pertandingan pidato di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan terbuka kepada semua rakyat negara ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Juri Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) berkata, penganjuran PPRN Peringkat Kebangsaan, Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka itu bertepatan dengan sambutan Bulan Kebangsaan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ pada 31 Ogos dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Beliau berkata pertandingan bertemakan ‘Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat’ itu mampu meningkatkan penghayatan prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat negara ini terutamanya peserta agar mereka tidak sekadar mengejar ‘habuan’ yang dijanjikan penganjur.

Katanya penghayatan itu juga mampu membentuk ‘Keluarga Malaysia’ yang diimpikan untuk sebuah negara berbilang kaum seperti yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

“Gagasan ‘Keluarga Malaysia’ yang ingin kita lihat pada masa hadapan bukan ‘Keluarga Malaysia’ yang bebas tidak tentu arah tetapi berpandukan prinsip Rukun Negara.

“Penghayatan pada prinsip Rukun Negara adalah asas yang mengikat perpaduan rakyat dan saling meghormati antara kaum dan perkara yang tertakluk dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Abdul Latiff berkata penganjuran PPRN diharap dapat membentuk jati diri rakyat terhadap tanah air dan mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman pelbagai unsur luar yang boleh meruntuhkan perpaduan rakyat.

PPRN merupakan anjuran Pejabat Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Melaka serta Kementerian Perpaduan Negara yang menawarkan wang tunai RM300 hingga RM5,000, serta pelbagai hadiah menarik termasuk piala pusingan, piala iringan, koleksi buku dan sijil penyertaan.

Ia mempertandingkan lima kategori iaitu Awam, Institusi Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Bukan Melayu dengan seramai 884 peserta dari seluruh negara.

Sesi saringan penyertaan dalam bentuk video itu berlangsung pada 9 hingga 13 Ogos diikuti sesi separuh akhir pada 16 hingga 17 Ogos sebelum pertandingan akhir dijangka diadakan pada 16 September ini secara bersemuka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

418
Kongsi :
Previous post Kompleks Sukan Jasin bakal dibina tahun depan- Sapiah
Next post Lelaki maut akibat parah di pergelangan tangan selepas tumbuk cermin masjid, hari sebelumnya
Ubah saiz-+=