TYT mahu bidang perusahaan bioteknologi dipergiat
AYER KEROH 20 Julai – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam meminta kerajaan negeri memberikan fokus terhadap bidang perusahaan bioteknologi.
Menurutnya, bidang tersebut sangat penting sebagai usaha memperkasa agenda teknologi yang sangat diperlukan pada masa kini.
Jelasnya, bidang berkenaan juga amat luas untuk dipelopori dan berpotensi menjadi enjin pertumbuhan negeri dan juga negara.
“Perbadanan Bioteknologi Negeri Melaka juga harus mempunyai azam dan cita-cita yang jelas bagi membawa bidang bioteknologi negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.
“Ia seharusnya berupaya menjadi sebuah pusat penyelidikan, pusat perkembangan ilmu dan pusat rujukan. Dengan cara ini banyak teknologi baharu boleh dikomersialkan untuk membantu pertumbuhan ekonomi negeri yang berteraskan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian persidangan kedua penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri, sebentar tadi.
Tambahnya, aplikasi teknologi pintar dan hijau juga perlu diwujudkan dalam menyelesaikan isu seharian negeri.
“Khususnya berkaitan kesesakan lalu lintas, lampu isyarat, parkir kenderaan dan CCTV bagi keselamatan bandar dan capaian kualiti rangkaian internet.
“Justeru, kerajaan negeri disaran supaya meneliti model pembiayaan melalui kerjasama antara kerajaan dan swasta dalam mempercepat adaptasi terhadap teknologi (adoption of technology) di Melaka,” katanya.