Sorting by

×

Abdul Latif terus jalani pemulihan, tangguh balik kampung

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SEPANG 7 Sept – Meskipun rindu kerana lama tidak berjumpa keluarga, pemenang pingat emas acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik sebanyak dua kali, Abdul Latif Romly tidak akan pulang terus ke rumahnya di Beseri, Perlis.

Jaguh lompat jauh para berusia 24 tahun itu mahu terlebih dahulu menjalani rawatan pemulihan bagi kecederaan pangkal paha yang dialami ketika melakukan lompatan keempat pada aksi di Paralimpik Tokyo 2020, sebaik tamat kuarantin wajib 14 hari sebelum balik bertemu ibu bapanya pada Oktober.

“Mungkin saya akan mengambil masa seminggu dua untuk kembali pulih. Sekarang keadaan saya dah okey, cuma ada koyak sedikit dalam 2.5 sentimeter. Mungkin tahap dua sahaja, tidak serius sangat,” katanya pada sidang media ringkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Tokyo, semalam.

Abdul Latif, yang memenangi emas pertamanya di Rio 2016, mengulangi kecemerlangannya di Tokyo apabila meraih emas dengan catatan lompatan 7.45m.

Sementara itu, seorang lagi pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou mengakui teruja mencipta sejarah menjadi individu pertama muncul juara sukan badminton selepas sukan tersebut dipertandingkan buat kali pertama di temasya Paralimpik.

Juara kategori lelaki SU5 itu berkata, beliau belum boleh berjanji untuk mempertahankan emas tersebut di temasya Paris 2024, tetapi akan mempertimbangkan perkara tersebut memandangkan usianya bakal mencecah 36 tahun ketika itu.

Mengulas mengenai kejayaan menewaskan seteru utamanya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, yang merupakan pemain nombor satu dunia 21-17, 21-15, Liek Hou berkata beliau dibantu kelebihan pengalaman beraksi di kejohanan besar.

“Mungkin beliau kalah dengan saya kerana terlalu banyak tekanan di sukan-sukan besar macam ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post Empat beranak ditemui rentung dalam kebakaran rumah
Next post Jangan alpa dan terus amalkan SOP
Ubah saiz-+=