Sorting by

×

Derma darah 101 kali sejak 1986

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

GADEK 6 Sept – Menderma darah sebanyak 101 kali sejak 1986 membuatkan Sub Inspektor Yazid Ishak, 54, tersenyum bangga kerana berpeluang menabur bakti membantu menyelamatkan nyawa insan.

Anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah itu berkata, selepas lebih setahun tidak menderma darah, beliau melepaskan ‘kerinduan’ itu dengan menderma kali ke-101 semalam.

Dia menderma 450 mililiter (ml) darah pada program ‘Jom Derma Darah: Satu Darah Satu Harapan Sejuta Senyuman’ anjuran Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) dengan kerjasama Bank Darah Hospital Melaka (BDHM) dan sebuah pasar raya di Pulau Sebang, di sini.

Yazid berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu, dia menderma darah sekali setiap dua bulan, sama ada di lokasi awam atau di Hospital Melaka.

YAZID menderma darah pada program derma darah anjuran PMPM dengan kerjasama BDHM di sebuah pasar raya di Pulau Sebang, Alor Gajah.

“Jika tiada program derma darah, saya akan ke Hospital Melaka untuk berbuat demikian tetapi sejak PKP 1.0, saya tidak menderma dan terpaksa memendam rindu dendam untuk berbuat demikian.

“Alhamdulillah, Allah mengurniakan saya kesihatan yang baik untuk saya berikan sedikit bakti kepada anggota masyarakat kerana satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa dengan izin Allah,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Pada program itu, Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman menerima sijil penghargaan daripada BDHM yang disampaikan Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohd Suhairy Sazali.

Yazid menjelaskan, doktor memaklumkannya tubuh seseorang yang sering menderma darah, lazimnya sihat kerana darah yang dikeluarkan diganti dengan yang baru dan sesuai untuk diderma semula selepas dua bulan bagi penderma lelaki dan tiga bulan bagi wanita.

Koperal Muzamil Abdul Razak, 35, berkata dia sudah menderma darah 20 kali dan bersyukur berpeluang memberikan bakti kepada mereka yang memerlukan darah.

“Alhamdulillah, dengan sedikit bakti ini saya membantu menyelamatkan nyawa mereka yang amat memerlukan darah seperti mangsa kemalangan, wanita bersalin dan seumpamanya,” katanya.

Azlin berkata, sijil berkenaan diterima berikutan usaha PMPM menganjurkan 48 program derma darah sejak Mac tahun lalu hingga hari ini.

“Alhamdulillah, sepanjang PKP 1.0 hingga PKP 3.0 sekarang, kami sentiasa komited membantu menambah bekalan darah di negeri ini dan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu kami.

“Orang ramai tidak perlu bimbang menderma darah kerana sebelum menderma, doktor akan memastikan mereka benar-benar sihat untuk berbuat demikian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1959
Kongsi :
Previous post COVID-19: Tiga kluster tamat hari ini
Next post Pelajar Malaysia patah tulang dalam kemalangan di Kaherah
Ubah saiz-+=