Fasa 2 PPN: Polis Melaka keluarkan enam kompaun pada hari pertama
AYER KEROH, 5 Sept – Polis Melaka mengeluarkan enam kompaun pada hari pertama negeri ini menjalani Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.
Pegawai Turus Kententeraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata meskipun Melaka sudah memasuki fasa berkenaan, namun masih ada rakyat yang ingkar mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, berikutan itu pihaknya mengeluarkan enam kompaun yang keseluruhannya berjumlah RM9,000.
“Masih ada lagi individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tempat tumpuan orang ramai.
“Bagi kesalahan itu, polis mengeluarkan enam kompaun masing-masing berjumlah RM1,500 kepada individu berkenaan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap 1,018 kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) semalam namun tiada kompaun dikeluarkan.
“Bagi permohonan pasangan jarak jauh yang ingin melakukan rentas daerah atau negeri dan permohonan ibu bapa melawat anak masing-masing di bawah usia 18 tahun, tiada permohonan diterima pada hari pertama Fasa Kedua PPN,” katanya.
Bagi tahap pematuhan rakyat terhadap SOP, beliau berkata, rakyat Melaka menunjukkan pematuhan SOP yang tinggi iaitu sebanyak 96 peratus.
“Ketiga-tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin merekodkan purata keseluruhannya 96 peratus.
“Justeru, polis mengingatkan supaya rakyat terus patuh kepada SOP meskipun lebih banyak sektor ekonomi dibuka pada Fasa Kedua PPN.
“Bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka sepatutnya perkara itu sudah tidak berlaku lagi kerana SOP itu sudah sering kali menjadi peringatan kepada rakyat bagi mengelakkan penularan.
“Justeru, bagi mengelakkan kekeliruan atau salah daham terhadap SOP, masyarakat perlu sentiasa merujuk ke laman sosial MKN dan kerajaan negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.