900,000 pekerja kilang lengkap vaksin akhir bulan ini

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

GOMBAK, 5 Sept – Lebih 800,000 atau 98 peratus daripada 900,000 pekerja sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), memetik laporan portal Berita Harian.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jumlah vaksinasi dicatatkan PIKAS yang memfokuskan pada vaksinasi pekerja kilang adalah prestasi memberangsangkan dalam usaha memberi perlindungan kepada pekerja barisan hadapan ekonomi.

Berdasarkan prestasi positif itu, katanya, beliau yakin pemberian vaksin COVID-19 PIKAS dapat disempurnakan menjelang akhir bulan ini.

“Daripada sejumlah lebih 900,000 pekerja dijadualkan mendapat suntikan vaksin COVID-19 menerusi PIKAS, kita berjaya menyuntik lebih 98 peratus.

“Ini pencapaian baik kerana walaupun jumlah tenaga kerja dalam sektor pembuatan di Malaysia adalah sekitar 2.2 juta, sebahagiannya sudah menerima suntikan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Sebahagian lagi pula mendapatkan vaksinasi secara walk-in. Maka, jumlah yang berdaftar dan menerima vaksin melalui PIKAS ini adalah prestasi amat baik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya memohon Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyumbang lebih banyak bekalan vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kilang yang kini berdepan penyusutan bekalan.

“Saya dapat jaminan daripada (Menteri MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa mulai bulan ini, bekalan vaksin PIKAS akan dipertingkatkan kerana matlamat saya mahu melengkapkan proses imunisasi PIKAS selewat-lewatnya hujung September.

“Dengan prestasi yang dicatatkan, saya yakin kita akan mampu mencapai sasaran berkenaan.

“Ini penting kerana sektor pembuatan adalah tulang belakang pertumbuhan ekonomi negara dan pekerja sektor ini tidak dapat bekerja di rumah. Oleh itu, mereka perlu dilindungi daripada risiko penularan COVID-19,” katanya.

PIKAS dimulakan pada 16 Jun lalu dengan matlamat memberi perlindungan segera kepada pekerja sektor pembuatan bagi melindungi mereka, sekali gus melancarkan pemulihan ekonomi negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post COVID-19: Lebih 48,000 peniaga, pekerja divaksin menerusi RiVAC
Next post Fasa 2 PPN: Polis Melaka keluarkan enam kompaun pada hari pertama
Ubah saiz-+=