Bandar Melaka masih lengang, rakyat tidak mahu ambil risiko
BANDA HILIR 4 Sept – Kawasan tumpuan ramai termasuk pusat beli-belah di Bandaraya Melaka masih sunyi biarpun negeri ini telah beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) sekitar jam 1.30 tengah hari tadi di dua pusat tumpuan ramai di bandar Melaka yang dahulunya sesak dan meriah, mendapati kawasan berkenaan terkawal dan masih lengang.
Antara kawasan dilawati adalah pusat beli-belah Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Mahkota Parade, Menara Taming Sari dan Kota A’Famosa.
Menerusi tinjauan selama dua jam didapati kawasan yang dahulunya ‘sesak’ dengan kelibat pengunjung kini masih lengang tanpa kehadiran pengunjung.
Selain pusat tumpuan ramai, jalan utama di pusat bandar juga dilihat lengang cuma sesekali kelihatan beberapa kenderaan dan penunggang motosikal yang lalu lalang.
Beberapa penghantar makanan juga dilihat menunggu di kawasan pusat beli-belah untuk mengambil atau menghantar pesanan.
Biarpun sudah lebih 50 peratus rakyat Melaka yang lengkap dua dos vaksin, ternyata mereka masih tiada keberanian dan tidak mahu merisikokan diri dengan melakukan aktiviti di luar rumah.
Tinjauan MHI di pusat beli-belah juga kelihatan hanya beberapa pengunjung yang membeli belah barangan keperluan, namun terdapat beberapa premis yang masih tutup setakat ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.