Sorting by

×

Guru enggan divaksin diberi tugasan lain

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

YAN 4 Sept – Seramai 2,500 guru yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 akan diberi tugasan lain di sekolah semasa sesi persekolahan dibuka nanti, berikutan mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, terdapat banyak tugasan lain di sekolah yang boleh dilakukan guru berkenaan.

“Pada masa sama kami juga sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apa tindakan dan pendekatan selanjutnya untuk guru-guru ini, insya-Allah saya sendiri akan berhubung dengan sebahagian daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam, di sini hari ini, selepas melawat kesan banjir akibat fenomena kepala air di daerah Yan pada 18 Ogos lalu.

Semalam, Radzi dilaporkan sebagai berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka pada 3 Oktober ini.

Tindakan berkenaan diambil bagi memastikan ibu bapa yakin bahawa persekitaran sekolah selamat untuk anak-anak mereka.

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihak sekolah masih menjalankan kaji selidik untuk mendapatkan gambaran awal mengenai penerimaan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka mengambil suntikan vaksin COVID-19.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada ibu bapa. Itu bukan satu arahan, tetapi tinjauan untuk mendapat gambaran sedikit sebanyak kerana sebarang urusan berkaitan vaksinasi adalah di bawah JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19) dan CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

451
Kongsi :
Previous post KPM salur RM2.4 juta untuk baik pulih 4 sekolah terjejas di Yan
Next post The Siamese Farang: Quest for Siwilai and Identity
Ubah saiz-+=