Pengurangan cukai korporat mungkin dipertimbang jika asas cukai, pertumbuhan kukuh – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR 3 Sept – Malaysia tidak mampu untuk melaksanakan pengurangan cukai korporat yang berada di paras 24 peratus ketika ini melainkan asas-asas cukai dapat diperluas dan negara berupaya mengekalkan trajektori pertumbuhan lebih kukuh berbanding purata, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
“Jika kita lihat cukai pendapatan korporat, ia memaparkan bahagian besar daripada hasil Kerajaan Persekutuan iaitu kira-kira 32.8 peratus termasuk cukai pendapatan petroleum dan dalam keadaan defisit fiskal yang makin meluas dan dianggarkan sekitar 6.5 peratus tahun ini akibat pandemik COVID-19.
“(Oleh itu) saya percaya Malaysia pada masa ini tidak berada dalam kedudukan untuk mampu melaksanakan pengurangan kadar cukai berikutan salah satu masalah itu memberi kesan terhadap asas cukai.
“Hanya selepas kita dapat memperluas asas cukai dan mengekalkan trajektori pertumbuhan yang lebih kukuh berbanding purata, barulah kita boleh mempertimbang kemungkinan mengurangkan kadar cukai korporat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program temu bual dengan media Singapura, The Straits Times bertajuk “Beyond the Pandemic: Malaysia’s Way Forward,” secara maya, malam tadi.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, bagaimanapun, memandangkan trend global lebih berpihak kepada penurunan cukai korporat, Malaysia pada masa depan berkemungkinan perlu menyemak semula struktur korporat agar selaras dengan pertumbuhan ekonomi lebih meluas dalam jangka pertengahan, katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan Malaysia mempertimbang langkah mengurangkan kadar cukai korporatnya kepada 15 peratus dalam tempoh 3-5 tahun akan datang.
Cukai korporat Malaysia adalah antara yang tertinggi di ASEAN dan Singapura terendah pada 17 peratus manakala Vietnam, Thailand serta Cambodia masing-masing pada 20 peratus dan Indonesia pada 22 peratus.
“Oleh itu, cukai korporat yang lebih rendah bukanlah satu-satunya komponen untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).
“Ini kerana terdapat faktor utama lain seperti infrastruktur baik, aspek modal insan serta peraturan yang jelas,” katanya.
Dalam Kenyataan Pra-Belanjawan yang diterbitkan baru-baru ini, Kementerian Kewangan (MoF) berkata kerajaan sedang meneliti langkah bagi meningkatkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil, terutama melibatkan aktiviti penyeludupan barangan berduti tinggi yang dianggar berjumlah RM5 bilion.
Menurut MoF, antara cadangan dalam penelitian termasuk pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung yang ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pada masa sama, kerajaan sedar persekitaran pelaburan yang kondusif sama ada bagi pelaburan langsung asing atau pelaburan langsung domestik merangkumi banyak aspek, termasuk kestabilan ekonomi dan politik, dasar konsisten dan telus, pasaran buruh yang efisien, tahap kemudahan infrastruktur, tadbir urus yang mantap, rangka perundangan yang kukuh dan kualiti hidup yang selesa di Malaysia.
Insentif fiskal termasuk cukai antara faktor penarik pelaburan berkenaan, namun ia juga boleh memainkan peranan penting sebagai alat dasar untuk memacu pelaburan di Malaysia.
Bagi mengulas ketirisan hasil, MoF dalam dokumen 17 muka surat itu berkata, Pasukan Kerja Pelbagai Agensi yang dipengerusikan oleh kementerian itu bagi merangka strategi membendung aktiviti penyeludupan telah diperkasakan melalui penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.
Dalam pada itu, menyentuh keyakinan pelabur dan FDI, Tengku Zafrul mengakui aspek itu telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan turut berkaitan dengan keadaan politik dalam negara.
“Namun, di sebalik semua ini, kita telah mencatat aliran masuk pelaburan yang lebih baik, terutamanya membabitkan FDI bagi tempoh separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama pada 2020.
“Oleh itu, jika anda teliti kadar vaksinasi Malaysia dan keadaan yang mana lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula, kita juga pada masa sama turut menjangkakan peningkatan prospek pelaburan secara umumnya,” katanya.
Malaysia juga kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan berikutan ekosistem pelaburannya yang maju.
“Selain itu, aspek lain yang tidak kurang pentingnya adalah pelaburan langsung domestik (DDI) yang akan terus kita beri penekanan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata kerajaan tidak akan menggunakan rizab negara bagi membiayai belanjawan akan datang.
Menjawab pertanyaan sama ada Malaysia akan membenarkan sektor swasta memainkan peranan lebih besar dalam pembiayaan infrastruktur, beliau menyifatkan sekarang sebagai masa yang tepat untuk menghidupkan semula lebih banyak perkongsian sektor awam-swasta termasuk projek infrastruktur 5G.
“Projek infrastruktur lain yang mungkin memerlukan penglibatan sektor swasta adalah projek rel yang diumumkan sebelum ini,” katanya.
Mengulas aspek kestabilan politik, beliau berkata konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi tumpuan terhadap kesinambungan terutama dalam menghadapi cabaran COVID-19.
“Kalangan pemimpin politik perlu berusaha untuk menjadikan keadaan politik stabil. Sepertimana yang kita ketahui, pergolakan politik memberi kesan terhadap ekonomi dan keyakinan pelabur dalam jangka singkat, pertengahan serta jangka panjang.
“Apa lebih penting, kita perlu meraih semula keyakinan rakyat terhadap strategi kerajaan, secara asasnya. Kita perlu bekerjasama sebagai satu keluarga atau Keluarga Malaysia,” katanya.
Tengku Zafrul juga optimis bahawa dengan penyertaan ahli politik pembangkang, mereka juga dapat bekerjasama untuk menyokong pemulihan negara selain membina masa depan yang lebih berdaya tahan serta mampan untuk semua.
“Bagi kita di Kementerian Kewangan, sepertimana Belanjawan 2021, kita akan turut berunding dengan sebanyak mungkin pihak dalam penyediaan Belanjawan 2022. Malah, kita juga telah pun memulakan usaha libat urus dengan pihak berkepentingan.
“Kita akan melihat bagaimana untuk mendapat maklum balas yang boleh diserapkan dalam belanjawan pemulihan yang berdaya tahan itu.
“Saya optimis laluan selamat bagi Belanjawan 2022 ini dapat diwujudkan dan kerajaan turut diberi ruang dan sokongan mencukupi untuk menempuh semua cabaran dalam jangka singkat dan pertengahan demi pemulihan ekonomi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.