Pemandu, kelindan maut lori terjunam dalam gaung
KUANTAN 2 Sept – Seorang pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki itu hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung di KM 43.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan pada kira-kira 3 petang itu menyebabkan pemandu lori, Nazli Misnon, 56 dan kelindannya, Anwar Tushali Arimi Mualimin, 25, yang sedang dalam perjalanan dari Sabak Bernam, Selangor menghala ke Raub, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, siasatan mendapati sejurus tiba di kawasan selekoh, lori yang membawa muatan baja itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung.
“Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa telah tersepit di bawah lori sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaiham berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dalam kenyataan memaklumkan seramai 13 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bersama dua jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba, anggota bomba telah bertindak menggunakan rescue power unit, peralatan tali dan bucket stretcher untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.