RM19.90 seunit, harga runcit maksimum kit ujian COVID-19
PUTRAJAYA 2 Sept – Harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) ditetapkan RM19.90 seunit berkuat kuasa Ahad ini.
Perkara itu diputuskan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan media bersama hari ini.
Harga borong maksimum bagi kit ujian sama pula ditetapkan pada harga RM16 satu set.
“Penentuan harga borong dan runcit maksimum kit ujian ini dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Penetapan harga maksimum ini dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan dalam usaha menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani COVID-19,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kerajaan sedar bahawa situasi COVID-19 di negara ini dan seluruh dunia belum pulih, malah lebih mencabar dan permintaan terhadap kit ujian dijangka meningkat pada masa depan susulan kesedaran orang ramai mahu membuat ujian sendiri.
Justeru, katanya, penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas itu dibuat bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.
Jelasnya lagi, penentuan harga maksimun juga dibuat selepas melakukan pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara, maklum balas daripada agensi kerajaan dan hasil perbincangan dengan rantaian bekalan serta syarikat farmasi.
“KPDNHEP akan membuat kawalan harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan penetapan harga.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan denda.
“Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pelbagai medium penyaluran aduan disediakan dan kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat.
“Jika ada peniaga tidak mematuhi peraturan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan seperti di portal [email protected], pusat panggilan 1800 886 800, aplikasi telefon pintar Ez ADU, ECC 03-8882 6245/6088 atau WhatsApp ke 0192794317,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.