‘Wajib menang jika mahu selamat’ – Zainal

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TIADA jalan pintas sebaliknya hanya kemenangan ditagih Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) untuk kekal di Liga Super musim depan dalam dua aksi terakhir.

Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan berkata, aksi menentang Perak TBG FC di Stadium Hang Jebat pada lusa dianggap perlawanan yang cukup penting memandangkan ia bakal menjadi perlawanan terakhir di laman sendiri musim ini dan juga penentu nasib skuad kendaliannya.

Walaupun keputusan seri mungkin boleh menjamin skuad Hang Tuah ‘sebelah kaki’ berada di kedudukan selamat, namun beliau tetap mengimpikan tiga mata penuh diraih bagi menjamin tempat di Liga Super musim depan.

Begitupun, beliau tetap meminta anak buahnya berwaspada terhadap ancaman kelab di tangga kedua tercorot liga itu yang pastinya berhasrat melakukan sesuatu untuk mencuri mata di saat akhir.

“Saya tidak mahu jadi seperti aksi menentang UiTM FC tempoh hari. Kita terlebih yakin hingga membuatkan kita sekadar mencatat keputusan seri.

“Saya mahu semua pemain menganggap ini perlawanan yang penting buat mereka dan bermain secara sepenuh hati.

“Jika mereka dapat mengekalkan disiplin dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan mudah, Insya-Allah kita ada peluang untuk memenangi perlawanan itu nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, hanya pemain terbaik dan bersedia 100 peratus akan diturunkan dalam aksi itu dalam misi mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Katanya, pemilihan pemain terbaik amat penting memandangkan terdapat enam pasukan bawahan yang kini sedang cuba merebut tempat untuk kekal di liga teratas Malaysia musim depan.

“Inilah saat yang getir kerana boleh dikatakan ada lima atau enam pasukan lagi berada di kedudukan bahaya.

“Jadi semua (pasukan) mahu selamat dan akan bermain bermati-matian. Jadi tiga mata amatlah penting untuk kita menjamin tempat dan selamat untuk kekal di Liga Super,” katanya lagi.

Untuk rekod, MUFC kini mengutip 18 mata daripada 20 perlawanan dan dibezakan lima mata daripada kelompok dua pasukan yang berada di zon penyingkiran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali melawat cawangan kedua DMmart di Jalan Hang Tuah
Next post Bayaran Bantuan Khas COVID-19 Fasa 1 mulai 6 September – PM
Ubah saiz-+=