Pelantikan semula Noraini terajui KPT bolehkan dasar sebelum ini diterus

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Pelantikan semula Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi dilihat mampu memberikan masa dan peluang kepada beliau untuk meneruskan dasar-dasar yang diperkenalkannya sebelum ini.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyambut baik pelantikan semula itu bagi membolehkan segala perancangan berkaitan kebajikan mahasiswa serta mahasiswi diteruskan.

Yang Dipertua MPP UTM Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah berkata, pihaknya menyokong inisiatif Noraini dalam perkongsian pandangan mahasiswa menerusi perjumpaan serta mesyuarat bersama Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan KPT.

“KPT di bawah pentadbiran beliau juga telah mewujudkan inisiatif-inisiatif yang memfokuskan isu kebajikan mahasiswa seperti Ops Penghantaran Pelajar Pulang, Bantuan Pelan Data dan Peranti IPT (Institut Pengajian Tinggi) serta Diskaun Tiket Penerbangan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan MPP UPSI pula memaklumkan sesi libat urus yang dilaksanakan oleh Noraini bagi mendengar pandangan dan cadangan barisan kepimpinan pelajar IPT telah membawa kepada pelaksanaan bantuan kebajikan seperti Foodbank Siswa.

“Keprihatinan Datuk Seri dalam menangani masalah mahasiswa berkaitan isu pandemik COVID-19 dapat mengurangkan beban kami semua.

“MPP UPSI yakin dan percaya bahawa Datuk Seri dapat menyelesaikan isu yang timbul dalam kalangan mahasiswa,” menurut kenyataan itu.

MPP UMT dalam satu kenyataan turut berterima kasih kepada Noraini atas inisiatif pengurangan yuran mahasiswa yang dilaksanakan semasa pandemik COVID-19.

“Beliau telah menunjukkan kematangan dalam menempuh tempoh yang mencabar semasa menangani permasalahan mahasiswa di era pandemik COVID-19.

“Diharapkan dengan pelantikan semula YB Datuk Seri Dr Noraini dapat memberikan masa dan peluang kepada beliau untuk merealisasikan dasar serta perancangan KPT dalam menjaga kebajikan mahasiswa sekali gus meneruskan kecemerlangan mahasiswa dalam era norma baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

705
Kongsi :
Previous post Ketua jabatan perlu kenal pasti, selesaikan masalah 2.2 peratus penjawat awam tidak daftar vaksin
Next post Melaka destinasi keempat terbaik Malaysia untuk dilawati
Ubah saiz-+=