Pengadil Malaysia dilantik mengadili aksi final Piala Dunia Bola Sepak Pantai

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Kualiti pegawai perlawanan dari Malaysia dilihat menerima pengiktirafan antarabangsa apabila Suhaimi Mat Hassan dilantik sebagai pengadil utama bagi aksi final Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2021 di Moscow, Rusia.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan berkata, pengadil berusia 45 tahun itu diberi penghormatan untuk mengadili perlawanan penentuan juara di antara tuan rumah dan Jepun pada 12.30 tengah malam ini (7.30 malam waktu tempatan) di Luzhniki Beach Soccer Arena.

Suhaimi akan dibantu oleh Sofien Benchabane dari Perancis sebagai pengadil kedua, Gionni Matticoli dari Itali (pengadil ketiga), Hany Farouk dari Mesir (penjaga masa) dan Turki Al Salehi dari Oman sebagai pengadil simpanan.

Menurut FAM, Suhaimi antara empat pengadil dari Asia, telah menjadi pengadil utama bagi aksi Belarus menentang El Salvador (Kumpulan C), serta sebagai pengadil kedua aksi Portugal bertemu Senegal (Kumpulan D) dan El Salvador lawan Switzerland (Kumpulan C) sepanjang kejohanan itu berlangsung sejak 19 Ogos.

“Ini kali kelima Suhaimi bertugas di Piala Dunia Bola Sepak Pantai, dan dia mempunyai pengalaman mengadili kejohanan berprestij itu pada 2011 di Itali, 2013 di Tahiti, 2015 di Portugal dan 2019 di Paraguay.

“Pada edisi 2019 itu juga beliau terpilih bertugas pada aksi final yang menemukan Itali dan Portugal sebagai pengadil simpanan,” katanya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan tahniah kepada Suhaimi dan berharap agar beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik dalam mengendalikan aksi final nanti.

“Timbalan Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram pula melihat ia sebagai satu pengiktirafan kepada pengadil dari Malaysia dan juga pencapaian terbaik secara peribadi yang mampu meningkatkan lagi profil Suhaimi dalam bidang pengadilan,” menurut kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

735
Kongsi :
Previous post Percepat vaksinasi peniaga di Jasin
Next post ‘Tiada kompaun, polis hanya beri nasihat’
Ubah saiz-+=