Pasar tani konsep PST dibuka berperingkat
ALOR GAJAH 29 Ogos – Kira-kira 60 hingga 70 peratus daripada 350 pasar tani di seluruh negara akan dibuka secara berperingkat menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, ia akan beroperasi mengikut konsep Pasar Segar Terkawal (PST) dengan memberi penekanan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, pembukaan pasar tani itu tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru kerana dikhuatiri berlaku pelanggaran SOP dalam kalangan pengunjung atau peniaga sendiri yang akhirnya menyebabkan kewujudan kluster baharu.
“Kita buka secara berperingkat terlebih dahulu kerana bimbang tidak terdaya nak kawal SOP nanti yang akhirnya menyebabkan ada pula kluster baharu kelak.
“Bagaimanapun, dengan perkembangan program vaksinasi yang semakin meluas kini, kita yakin sehingga hujung tahun ini, sekurang-kurangnya 60 atau 70 peratus pasar tani akan kita buka secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan MAFI Prihatin berupa barangan hasil pertanian seberat 350 kilogram oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani kepada pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar Rasyidin Alor Gajah.
Menurut Zainal Abidin, pasar tani yang dibuka nanti dilengkapi pematuhan SOP seperti pemakaian penutup muka, pemeriksaan suhu dan laluan keluar masuk bagi membolehkan petugas mengawal operasi pasar tani dengan berkesan.
Sementara itu, kata beliau, PST yang diperkenalkan FAMA sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kini mempunyai 55 lokasi seluruh negara dengan setakat semalam berjaya mencapai hasil jualan sebanyak RM118 juta.
“FAMA memperkenalkan PST untuk memberi peluang lebih ramai usahawan tani memulakan perniagaan mereka dan pada masa sama, pengguna juga mudah mendapatkan bekalan barangan makanan,” katanya.
Sementara itu, mengenai pelaksanaan MAFI Prihatin, kata beliau, ia memberi manfaat kepada 31,941 penerima di 172 lokasi seluruh negara melibatkan sumbangan pelbagai jenis barangan komoditi sebanyak 65.05 metrik tan.
“Kita meletakkan matlamat untuk membantu golongan atau NGO yang memerlukan bantuan makanan dan pada masa yang sama, kita juga membantu petani yang menghadapi masalah untuk memasarkan produk tani mereka.
“Usaha ini digerakkan secara serampang dua mata ya mana FAMA membantu membeli terus hasil pertanian dan memberi barangan ini kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Kata beliau, bagi tujuan itu, pihaknya sudah mengeluarkan kira-kira RM240,000 dalam menjayakan program tersebut yang turut disertai pelbagai badan korporat serta perseorangan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.