Syukur, ramai cakna nasib pengayuh beca di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 29 Ogos- “Syukur…ramai prihatin nasib pengayuh beca di Melaka yang terjejas dengan ketiadaan pelancong ekoran pandemik COVID-19,” ujar Pengayuh Beca, Azman Dollah,55.

Azman yang juga Pengerusi Koperasi Abang Beca Melaka turut memberitahu dalam keadaan penularan wabak COVID-19, komuniti pengayuh beca Melaka sering mendapat perhatian banyak badan bukan kerajaan dari dalam dan luar negeri.

Katanya, dia mewakili pengayuh beca di negeri ini berterima kasih kepada semua pihak yang tidak jemu menyampaikan pelbagai jenis bantuan, namun menafikan mereka hanya menunggu bantuan sahaja.

AZMAN.

“Syukur alhamdulillah, seramai 325 pengayuh beca di Melaka yang berdaftar dan berlesen di negeri ini, dan banyak pihak yang cakna akan nasib kami.

“Tapi saya juga nak jelaskan…tidak mahu ada pihak tersalah anggap yang kami hanya menunggu bantuan sahaja.

“Ada juga antara kami yang sudah pulang ke kampung halaman dan beralih arah mencari pendapatan lain seperti jadi ‘rider’ hantar makanan, buat kerja-kerja pembersihan dan pelbagai lagi ketika pandemik ini,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui dalam Program Bantu Beca Melaka anjuran Kelab Anak Muda Relawan di hadapan Bangunan Stadhuys, di sini.

Menerusi program itu, seramai 210 pengayuh beca mendapat manfaat dan bantuan tersebut dijangka akan selesai diagihkan sehingga pertengahan September depan.

MOHD SAFRI.

Sementara itu, pengayuh beca, Mohd Safri Taib, 34, berkata, selepas 10 tahun membawa beca, dia kini bekerja sebagai pekerja am di beberapa premis bagi tugasan menghantar surat untuk menyara keluarga.

Jelas bapa kepada enam anak itu, kerjaya sebagai pengayuh beca buat masa kini terpaksa dihentikan dan kini dia serta rakan-rakan pengayuh melakukan pelbagai kerja sampingan demi kelangsungan hidup untuk diri dan keluarga.

“Ramai prihatin akan nasib kami pengayuh beca Melaka, kami berterima kasih kepada pihak-pihak yang sering beri bantuan, sedikit sebanyak bantuan diterima hari ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung.

“Hampir dua tahun, ramai rakan pengayuh sudah bertukar kerjaya, saya sendiri sudah hampir setahun bekerja hantar surat, apa yang mampu, kami akan buat untuk sara hidup.

“Jika ditakdirkan ekonomi kembali sediakala dan pelancongan Melaka beransur pulih, saya akan kembali menjadi pengayuh semula, membantu sektor pelancongan negeri melonjak kembali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1136
Kongsi :
Previous post PM ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Lajim Ukin
Next post 69 menteri dan timbalan menteri angkat sumpah jawatan di Istana Negara esok
Ubah saiz-+=