Sorting by

×

Pengalaman luas bawa Annuar Musa terajui KKMM

Masa Membaca:3 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Pengalaman luas menerajui beberapa kementerian sejak tahun 1990-an serta penglibatan dalam agensi serta jabatan kerajaan sebelum berkecimpung sepenuhnya dalam politik, membolehkan Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu.

Annuar, 65, yang juga Ahli Parlimen Ketereh tidak asing dengan penglibatan peringkat negeri, pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dan menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan sebagai presiden dan membawa pasukan itu ke mercu kejayaan persada bola sepak tanah air.

Beliau juga lantang dan berprinsip terutama dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan parti, Annuar adalah individu penting yang memainkan peranan khususnya dalam membawa ke arah penyatuan parti Melayu, UMNO dan PAS dengan wujudnya Muafakat Nasional.

Annuar juga menyandang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum beliau meletak jawatan 16 Ogos lalu.

Hari ini, Ahli Parlimen Ketereh itu kembali dilantik menganggotai jemaah menteri pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan portfolio yang baharu.

Anak kelahiran Bukit Marak, Bachok, Kelantan itu juga adalah antara pemimpin yang dekat di hati rakyat terutamanya ketika memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan apabila berjaya menyelesaikan beberapa isu penduduk Kuala Lumpur termasuk membabitkan lesen perniagaan dan juga perumahan.

Selain itu, beliau turut membantu Wilayah Persekutuan mencapai imuniti kelompok dengan Labuan terawal mencapai sasaran itu dan kini berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagi mencapai matlamat itu, Annuar, berusaha mempelbagaikan strategi vaksinasi bagi membendung penularan pandemik COVID-19 termasuk mengadakan vaksinasi bergerak dengan sasaran kepada kelompok penduduk Kuala Lumpur dan sekitar pinggir ibu kota.

Selain itu, Annuar yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak, Bachok dan Sekolah Tunku Abdul Rahman, Perak, pernah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 1990 hingga 1993 dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dari 1993 hingga 1999.

Bekas Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan UMNO itu juga merupakan lulusan Maktab Tentera Diraja (RMC) Sungai Besi, Kuala Lumpur (1973-1974), Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1975 – 1980) dan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pembinaan, University College of London (1983-1984).

Annuar memulakan kerjaya dalam kerajaan sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selama setahun bermula 1981 sebelum menjadi Pengarah Bahagian Perancang Korporat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan bagi tempoh yang sama bermula 1985.

Selain itu, beliau turut memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dari 1989 hingga 1990 dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) bagi tempoh 2005 hingga Mei 2013.

Beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 2013 hingga 2015 dan dilantik semula ke jawatan sama pada 2015 sehingga 31 Januari 2017.

Annuar yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peringat pada 1986 hingga 1990 dan ADUN Kok Lanas (2004-2008), berkahwin dengan Puan Sri Rosniah Abdul Rahman dan dikurniakan empat anak iaitu tiga perempuan Azzahraa, Azzwaa, Ajjrina dan seorang lelaki Afiq Amani.

Dalam arena sukan tanah air, beliau pernah memegang jawatan Pengerusi, Majlis Sukan Negara (Oktober 1990-Disember 1993) dan Penaung Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (Sports Excel) pada 1997 selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada tahun 2007 dan memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2010-2014.

Sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada tahun 2007, beliau berjaya mewarnai dan memajukan bola sepak Kelantan terutamanya membantu pasukan mencapai kegemilangan dengan merangkul kejuaraan ‘treble’ iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012.

Aspek kebajikan tetap dekat di hati beliau apabila mendaftar sebagai Sukarelawan Prihatin atau Prihatin Volunteer (PriVo) yang menyertai NGO terbabit pada 16 Ogos lalu kerana mahu terus membantu golongan miskin, gelandangan dan mereka yang memerlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1147
Kongsi :
Previous post ‘Pelantikan semula amanah besar’
Next post MUFC cari formula saat akhir
Ubah saiz-+=