Lebih 2,250 rampasan perjudian dan pelacuran sejak 2005 dilupuskan
SUNGAI UDANG 27 Ogos – Sebanyak 2,253 peralatan perjudian dan pelacuran yang dirampas dalam serbuan di sekitar Melaka Tengah bernilai RM200,000 dilupuskan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, barang kes dilupuskan itu membabitkan 496 siasatan jenayah yang dibuka sejak 2005 hingga kini.
“Sebanyak 2,218 barang kes itu membabitkan aktiviti perjudian dan bakinya 35 dari jenayah am iaitu seksual.
“Antara yang dilupuskan hari ini membabitkan 1,926 unit pemprosesan komputer (CPU), komputer, mesin simulator serta 35 barangan seperti bantal dan selimut yang dirampas sejak 2005 hingga tahun ini.
“Barang-barang kes yang dilupuskan adalah mengikut peruntukan di bawah Seksyen 406 A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelupusan barang kes di Balai Polis Sungai Udang, di sini semalam.
Hadir sama, Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Dalam pada itu Afzanizar berkata, pelupusan terbabit dilaksanakan polis setelah segala kertas siasatan berjaya dituduh dan telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dan tiada tindakan lanjut.
Jelasnya, pelaksanaan terbabit bertujuan untuk mengelakkan lambakan dan kesesakan terhadap barangan kes yang sudah diselesaikan.
“IPD Melaka Tengah memandang serius sebarang aktiviti membabitkan jenayah perjudian serta pelacuran dan kami memohon kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.