Treler terbakar, pemandu rentung
JOHOR BAHRU 26 Ogos – Seorang pemandu treler rentung dalam kebakaran kenderaan berat itu di Kilometer 145.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Bukit Gambir, Tangkak, hari ini, lapor BH Online.
Mayat mangsa yang dikenal pasti sebagai Aminrullrashed Azman, 39, ditemui di bahagian bawah tempat duduk penumpang.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farizan Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 7.36 pagi tadi.
Katanya, seramai 13 anggota bersama penyelia pasukan bertugas, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khalid Mohd Aris, dikerahkan ke lokasi kejadian bersama jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS), ‘water tanker’ serta sebuah utiliti.
“Kebakaran itu membabitkan treler tanpa muatan yang musnah kira-kira 90 peratus pada kepala, di samping bahagian lain kenderaan berkenaan.
“Terdapat seorang mangsa dikenal pasti sebagai Aminrullrashed Azman, 39, yang juga pemandu treler itu, namun tiada kelindan atau penumpang dilaporkan terbabit.
“Kemalangan itu berlaku apabila treler terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian tengah pembahagi jalan,” katanya.
Katanya, operasi pemadaman mengambil masa kira-kira 40 minit, manakala punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
“Mayat mangsa sudah dikeluar dan diserahkan kepada polis kira-kira jam 9.30 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.