Nelayan teruja kibar semangat Jalur Gemilang
AYER LIMAU 24 Ogos – Menjelang tarikh keramat negara 31 Ogos yang jatuh pada Selasa depan, nelayan sungai, Zainal Md Ali, 71, menyatakan semangatnya mengibarkan Jalur Gemilang.
Malah, dia bersama anak saudaranya, Kamarulzaman Sharif, 42, cekal mengecat dua Jalur Gemilang dan satu bendera Melaka pada tebing kolam ikan yang sudah disimen di halaman kediaman mereka di Kampung Paya Lebar, di sini.
Meskipun terpaksa menahan panas matahari ketika mengecat ketiga-tiga bendera berukuran 1.8 x 0.9 meter dan mencacakkan tiang bendera di taman itu, mereka tidak pernah mengeluh.
Sebaliknya, mereka amat komited mengecat Jalur Gemilang pada struktur bersimen dan menghiaskan taman berkenaan dengan kulit lokan yang dikutip di tebing Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi semata-mata untuk menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Zainal berkata, dia dan anak saudaranya mengutip beratus-ratus lokan di tebing sungai berkenaan sejak dua minggu lalu sebelum memasak dan memakan isinya manakala kulitnya dijadikan perhiasan taman itu.
“Kami amat ceria ketika melukis dua Jalur Gemilang dan satu bendera Melaka pada simen yang kami bina di tebing di tepi kolam berhampiran kediaman kami.
“Kami menghiaskan taman itu dengan menyusun ratusan kulit lokan bagi mempamerkan semangat nasionalisme kami sempena Hari Kebangsaan yang ke-64 tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di taman itu hari ini.
Mereka sanggup mengeluarkan kos bagi mendapatkan simen untuk membina landskap indah dan menarik di tebing kolam ikan keli dan tilapia, kira-kira tiga meter dari kediaman mereka.
Zainal berkata, bagi menambah keindahan taman itu, mereka memasang Jalur Gemilang, sekali gus membuktikan kecintaan mereka kepada tanah air tercinta.
Kamarulzaman berkata, mereka mengambil tiga hari untuk menyimen tebing berkenaan sebelum mengecatnya dengan warna Jalur Gemilang dan bendera negeri.
“Alhamdulillah, kami berjaya menyiapkannya minggu lalu dan hari ini kami mencacakkan tiang Jalur Gemilang sebagai tanda kasih dan cinta kami akan kedaulatan negara,” katanya.
Dia berkata, sesiapa yang melalui jalan kampung itu tidak akan terlepas daripada terlihat kolam ikan dan taman berkenaan, sekali gus menikmati pemandangan indah berkonsepkan bendera kebangsaan.
Katanya, sejak ia disiapkan, taman berkenaan menjadi tumpuan penduduk kampung, terutama remaja untuk merakam gambar kenangan taman yang dihiasi dengan Jalur Gemilang, sekali gus memperkukuh semangat kebangsaan dalam jiwa mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.