Peruntukan RM75 juta baik pulih infrastruktur bencana banjir di Yan – PM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

YAN 23 Ogos – Kerajaan meluluskan peruntukan RM75 juta bagi membaik pulih infrastruktur dan perkara berkaitan akibat bencana kepala air yang berlaku di daerah ini dan Merbok, baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu melibatkan pembaikan sistem saliran yang rosak membabitkan permohonan peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Ia seperti menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer fasa 1 (membabitkan kos) RM5 juta, membina dua jambatan baharu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di jalan K1 sebanyak RM23 juta dan pembinaan Empangan Sabo fasa satu sebanyak RM20 juta.

“Ini bermakna ada RM48 juta untuk sistem saliran dan juga kerja pembaikan dan menaik taraf ‘intake’ Loji Rawatan Air Gurun dan Tupah sebanyak RM2 juta.

“Maknanya di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air permohonan sebanyak RM50 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika lawatan kerja sulungnya sebagai Perdana Menteri di kawasan bencana kepala air di Yan, Kedah hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memperuntukkan bantuan bagi lain-lain keperluan seperti pembaikan kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemulihan sektor pelancongan desa.

Katanya, ia termasuk pembaikan infrastruktur air masyarakat, membaik pulih kerosakan kawasan tanaman padi yang rosak dan juga infrastruktur kecil seperti pembaikan jalan, longkang dan titi kampung.

“Semua sekali adalah berjumlah RM25 juta untuk projek-projek selain daripada sistem saliran dan bekalan air,” katanya.

Sementara itu, pada sidang medianya, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), akan menyalurkan bantuan tunai RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir itu.

“Sebanyak RM5,000 juga akan diberikan kepada keluarga yang kehilangan waris dalam kejadian ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

413
Kongsi :
Previous post Tiada kerajaan perpaduan, tiada pembangkang dalam Kabinet – PM
Next post Barisan Kabinet diumum minggu ini
Ubah saiz-+=