Sorting by

×

Kebenaran rentas lebih 10 KM cetus pelbagai reaksi

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

ALOR GAJAH 22 Ogos – Melaka akhirnya menetapkan individu menerima vaksin lengkap melepasi tempoh matang diberi kelonggaran untuk melakukan perjalanan melebihi 10 kilometer di negeri ini.

Individu terbabit juga dibenarkan untuk melakukan perjalanan mengikut kapasiti penuh kenderaan, namun larangan rentas daerah dan negeri kekal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Rentetan itu, pelbagai reaksi orang awam diterima Melaka Hari Ini (MHI) menerusi tinjauan dilakukan.

SITI RUBIAH.

Peniaga, Siti Rubiah Ibrahim, 59, berkata, dia menyokong ketetapan tersebut yang memberi kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap untuk melakukan perjalanan melebihi 10 kilometer.

Katanya, kemudahan itu memberi peluang kepada peniaga kecil sepertinya untuk mendapatkan bekalan perniagaan daripada pemborong yang jauh dari lokasi perniagaannya di Lubok China.

“Kelonggaran ini akan memudahkan peniaga kecil seperti saya untuk membeli stok perniagaan kepada pemborong di sekitar Batu Berendam dan Cheng, berbanding sebelum ini terpaksa menumpukan kepada peruncit dan pasar raya di sekitar Masjid Tanah.

“Jika kami mampu memperoleh stok daripada pemborong dalam tempoh dua minggu sekali, ia sekali gus akan mengurangkan kos modal yang diperuntukkan sehingga 40 peratus.

“Sebelum ini kami terpaksa ‘putus hubungan’ dengan pemborong berikutan kekangan daripada sekatan jalan raya yang dijalankan di setiap pintu sempadan daerah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Muhammad Aizzat.

Pekerja swasta, Muhammad Aizzat Zulkiflee, 28, pula berpendapat, kelonggaran diberikan kerajaan kali ini terlalu awal berikutan kes COVID-19 masih tinggi.

Katanya, dia bimbang kelonggaran diberi kepada individu lengkap divaksin akan mendatangkan peningkatan kes sekiranya tiada langkah memperketatkan SOP.

“Bagi saya dalam keadaan jumlah kes yang  membimbangkan agak mengelirukan dan terlalu awal untuk melonggarkan beberapa syarat.

“Ditambah penumpang pula boleh mengikut kapasiti kenderaan yang mungkin menyumbang peningkatan kes berikutan keadaan yang bersentuhan biarpun telah divaksin.

“Bagi saya ia terlalu awal kerana hari ini kita sudah terbiasa dengan norma baharu dan perancangan bagi memutuskan rantaian wabak terbabit perlu dilaksanakan dengan lebih serius seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dahulu.

“Biarlah kita susah sekarang bukannya susah berterusan,” katanya.

Nor Shaheerah.

Seorang penduduk, Nor Shaherah Rosli,27, berkata, kerajaan perlu menilai semula ketetapan terhadap ibu bapa yang belum divaksin untuk meneruskan perjalanan dan membawa anak anak menaiki kenderaan dalam radius yang ditetapkan.

Jelasnya, ketetapan itu perlu menitik beratkan kepada perjalanan dalam daerah sahaja.

“Syarat kepada anak-anak pula, mereka tidak dibenarkan turun dan kekal berada dalam kenderaan dengan pendedahan kepada kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik dan tidak tertutup.

“Kita mencadangkan perkara ini kerana ramai ibu bapa bimbang perkembangan anak-anak akan terganggu jika dibiarkan berkurung di rumah terlalu lama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

476
Kongsi :
Previous post Dron ciptaan UTeM menang pingat emas di WICO 2021
Next post Busana rekaan anak tempatan raih perhatian wanita Australia
Ubah saiz-+=