‘Syukur boleh niaga semula’ – peniaga
TELOK MAS 22 Ogos – Rata-rata pengusaha sektor ekonomi yang boleh beroperasi semula bermula hari ini menarik nafas lega dengan kebenaran diberikan itu.
Tinjauan MHI ke beberapa salun, kedai gunting rambut serta pusat cuci kenderaan mendapati mereka gembira mendengar pengumuman dibenarkan operasi semula dan tidak sabar menerima pelanggan.
Pemilik pusat cuci kenderaan Muhammad Rais Mustapha, 40, berkata persediaan untuk membuka semula agak mengejut dan memerlukan sedikit masa.
“Syukur alhamdulillah walaupun kita cuba perlahan-lahan untuk hadap pandemik ini, pada masa sama kita ikhtiar supaya pekerja sedia ada dapat terus bekerja dan tiada yang diberhentikan.
“Bila semalam kata boleh kita nak tengok juga apa lagi syaratnya, yang pasti pelanggan wajib dua dos selepas 14 hari suntikan.
“Kita juga pastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan sediakan tempat menunggu yang terbuka dan penjarakan sosial, pelanggan perlu tunjuk sijil digital mereka telah lengkap dua dos,” katanya yang mengusahakan kedai itu selama enam tahun.
Bagi pemilik salun Lufty’s Barber Shop, Lufty Ahmad, 39, berkata pengumuman dibenarkan operasi itu memberi keceriaan kepadanya serta pekerja.
“Kedai dah empat tahun buka, masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni saja dah tiga kali tutup.
“Kali ketiga ni paling lama dekat empat bulan tak operasi, kita memang terkesan terutama dua pekerja saya yang sepenuh masa kerjanya gunting rambut sahaja.
“Syukur dapat buka balik, pekerja memang bergelut dan harap ni kali terakhir tutup dan lepas ni dapat buka sampai bila-bila,” katanya kepada MHI.
Katanya pernah mendapat permintaan pelanggan untuk gunting rambut di rumah sebelum ini, namun dia tidak galakkan atas faktor risiko kesihatan.
“Kita tak galak pelanggan ke rumah sebab bahaya, jadi bila kedai dah buka saya sendiri akan pakai sarung tangan, pelitup muka, apron dan lakukan sanitasi pada setiap pelanggan,” katanya yang mempunyai kedai gunting rambut di Serkam.
Manakala pemilik kedai pakaian Adawiyah Asyaari,28, turut meluahkan rasa syukur dapat kembali berniaga kerana itulah sumber pendapatan utamanya.
“Bila boleh buka alhamdulillah sebab dah tiga bulan tutup, ditambah pula inilah sumber utama pendapatan saya dan keluarga.
“Saya ada dua pekerja, walaupun tutup saya tetap bayar sedikit gaji mereka, pada masa sama sewa kedai pun perlu dibayar.
“Hari pertama buka ni memang saya dah buat persediaan dengan memastikan segala SOP dipatuhi, pelanggan juga diharap dapat beri kerjasama semasa datang kedai,” katanya yang mengusahakan kedai Busana Aissyah hampir 10 tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.