Melaka tidak benarkan ‘dine in’ dan operasi pasar malam

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat
AYER KEROH 20 Ogos – Tiada kelonggaran sektor ekonomi termasuk kebenaran ‘dine-in’ atau operasi pasar malam dan pasar minggu diputuskan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, meskipun Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun perkara itu ditetapkan dengan bersyarat.
Katanya, Melaka dibenarkan untuk kelonggaran itu sekiranya negeri mencapai 50 peratus jumlah penduduk yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
“Jika kita mencapai keadaan itu, barulah kita layak membuka sektor ekonomi dan sosial sebagaimaan diumumkan Muhyiddin,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Berikutan itu, beliau berkata, rakyat diminta untuk bersabar kerana perkara itu dijangka dicapai menjelang hujung bulan ini.
“Saya harap rakyat Melaka boleh bersabar supaya kita dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk di negeri yang lengkap divaksin.
“Kita masih memohon daripada kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan bekalan vaksin dan saya jangkakan pada hujung bulan ini selesai (50 peratus penduduk lengkap vaksin),” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Ghafaar berkata sebarang perubahan mengenai prosedur operasi standard (SOP) baharu itu akan diumumkan kelak.
Jelasnya,selagi tiada pengumuman dibuat oleh kerajaan negeri, rakyat diminta untuk terus patuh kepada arahan yang tertakluk sebagaimana sebelum ini.
“Insha-Allah, kita akan umumkan apabila sektor itu dibuka dan setakat ini kita tidak benarkan lagi kerana takut jika peniaga (berkaitan) membuka perniagaan masing-masing, mereka akan diambil tindakan.
“Pesan saya kepada masyarakat yang terlibat dalam perniagaan berkaitan diharap bersabar supaya mereka tidak diambil tindakan kerana tidak mengikut SOP ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

665
Kongsi :
Previous post Operasi kilang diarah tutup jika 5 % pekerja disahkan positif
Next post ‘Susah senang bersama’ – PM
Ubah saiz-+=