Operasi kilang diarah tutup jika 5 % pekerja disahkan positif
AYER KEROH 20 Ogos – Operasi kilang diarahkan tutup selama 10 hingga 14 hari sekiranya terdapat lima peratus daripada jumlah pekerjanya dikesan positif.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Melaka, Datuk Salhah Salleh berkata, arahan itu diputuskan menerusi Jawatankuasa Khas COVID-19 negeri yang bersidang kelmarin.
Jelasnya, dalam mesyuarat itu kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menguatkuasakan arahan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 ditarik balik.
“JKN mengarahkan penutupan kilang selama 10 hingga 14 hari sekiranya terdapat lima peratus pekerja kilang positif.
“Semua pekerja kilang yang berkenaan dikehendaki memakai gelang pink dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan bertarikh 18 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, beliau berkata ujian calitan akan dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah hanya kepada pekerja yang bergejala bagi tujuan mengekang penularan dalam kalangan pekerja dan masyarakat.
“Sehubungan itu pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN); JKN; Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) negeri; Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dan Invest Melaka mengambil tindakan susulan dalam kadar segera.
“Turut mengambil maklum keputusan itu adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ); Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
“Tindakan susulan bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dipatuhi sepenuhnya selain memastikan pemantauan dan penguatkuasaan dibuat secara berterusan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.