Terima kasih Muhyiddin atas jasa dan khidmat bakti – Sulaiman
AYER KEROH 16 Ogos – Kerajaan negeri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang menggalas tugas sebagai Perdana Menteri dalam tempoh 18 bulan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sepanjang tempoh itu banyak jasa dan khidmat bakti dicurahkan Ahli Parlimen Pagoh itu termasuk memberi perhatian terhadap negeri ini.
Justeru itu katanya, kerajaan negeri amat berterima kasih atas jasa dan pengorbanan Muhyiddin itu.
“Saya mendoakan kebaikan dan kemakmuran untuk Negeri Melaka serta negara Malaysia.
“Semoga Allah SWT merahmati negeri dan negara kita, muncul segera cahaya di hujung terowong serta jalan penyelesaian yang baik-baik akan menyudahi kita semua, Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sulaiman turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan untuk menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat jelata Negeri Melaka juga, patik amat yakin dengan
kebijaksanaan dan kewibawaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk memperkenan pelantikan Perdana Menteri Malaysia yang baharu bagi memimpin dan mentadbir negara ini yang masih berhadapan dengan krisis kesihatan serta ekonomi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.