Sorting by

×

Mana hilangnya lebih 4,000 pekerja asing?

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Mana hilangnya lebih 4,000 pekerja warga asing yang diberhentikan kerja di Melaka sejak tahun lalu?

Kegusaran itu diutarakan oleh Exco Tenaga Kerja, Datuk Ismail Othman yang mendakwa ‘kehilangan’ pekerja asing tersebut tidak diketahui oleh mana-mana agensi kerajaan berkaitan dan paling dikhuatiri keberadaan mereka kini bersepah di jalan raya atau bersembunyi dalam kalangan masyarakat setempat.

Berdasarkan pemerhatian pihaknya mendapati pekerja warga asing tersebut setelah diberhentikan kerja tidak lagi diletakkan di bawah tanggungjawab majikan dan sesiapa pun tidak mengetahui pergerakan mereka selepas itu.

ISMAIL pada sidang akhbar selepas menyerahkan kit makanan pada program kongsi rezeki anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Sukan JKKP Melaka di Menara Persekutuan, Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

“Ada yang kita ketahui warga asing ini pergi ke kampung-kampung, bekerja di ladang manakala selebihnya tidak tahu ke mana mereka.

“Adakah mereka ini yang sedang bersepah-sepah di jalan raya atau tinggal di bangunan terbiar sekarang ini, itu kita tidak tahu.

“Apa yang kita bimbangkan sekarang ini ialah soal keselamatan dan perlindungan kesihatan komuniti setempat dengan keadaan pandemik Covid-19 sekarang ini…kita tidak mahu warga asing ini berada dalam kelompok komuniti kita,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan program Kongsi Rezeki Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) di lobi Menara Persekutuan Ayer Keroh.

Kira-kira 100 keluarga menerima bantuan kit makanan pada program itu yang turut dihadiri Pengarah JKKP Melaka, Dr. Rabaayah Daud.

Sehubungan itu, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan sistem pengesanan atau sistem data biometrik bagi merekodkan pergerakan pekerja asing dan mengenal pasti kedudukan mereka pada bila-bila masa.

Pada masa sama, beliau kesal apabila kira-kira 50 peratus majikan di negeri ini masih gagal menyediakan bangunan kediaman yang menepati piawaian pihak berkuasa.

“Warga asing ini tidak sepatutnya berada dalam komuniti setempat dan perlu ditempatkan di kawasan atau bangunan yang dikawal.

“Bangunan didiami mereka juga perlu menepati peraturan dan garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Bagi mengatasinya beliau berkata, agensi penguat kuasa berkaitan mengadakan pemerikaan pematuhan tiga kali seminggu di premis perniagaan yang mengaji pekerja warga asing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

678
Kongsi :
Previous post 2 PPV mega bantu Melaka capai imuniti kelompok akhir Oktober
Next post Penjawat awam ikrar beri perkhidmatan terbaik walau kerajaan bertukar
Ubah saiz-+=