Sorting by

×

2 PPV mega bantu Melaka capai imuniti kelompok akhir Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Pembukaan dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega pada bulan ini bakal mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat Melaka dan seterusnya mencapai imuniti kelompok lebih awal.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata, dua PPV itu akan dibuka di Stadium Hang Jebat dan Stadium Mini Jasin yang dijadual dibuka pada 23 Ogos ini.

Katanya, PPV Stadium Hang Jebat mampu memberikan vaksinasi sehingga 5,000 penerima sehari, manakala PPV Stadium Mini Jasin pula berkapasiti 3,000 penerima sehari.

“Kita menjangkakan dengan adanya PPV Mega ini, Melaka akan dapat menyelesaikan program vaksinasi lebih awal dari yang ditetapkan.

“Sebelum ini kita menjangkakan pada awal Disember 2021, namun kini ia mampu diselesaikan dalam tempoh 1.3 bulan atau maksimum 2 bulan iaitu pada akhir Oktober depan.

“Walau bagaimanapun ini masih tertakluk kepada bekalan vaksin yang diterima daripada kerajaan pusat bagi membolehkan proses vaksinasi Melaka dapat dipercepatkan dan berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ‘Dialog 1.30 On Air’ di Melaka FM yang bertajuk ‘Kemudahan Ekonomi di Fasa 1, Di Mana Melaka?’, hari ini.

Mohd Nasrul berkata, walaupun kerajaan telah mengumumkan pembukaan 11 sektor ekonomi bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun Melaka belum boleh ke arah itu berikutan tidak memenuhi syarat vaksinasi lengkap 50 peratus populasi dewasa di negeri ini.

Jelasnya, setakat ini, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Melaka adalah 37 peratus, namun mengikut unjuran, negeri ini akan mencapai 50 peratus vaksinasi lengkap pada awal September.

“Saya ambil peluang untuk betulkan persepsi bahawa bukan MKN Melaka yang menghalang pembukaan 11 sektor ekonomi tersebut, tetapi saya berperanan untuk menjelaskan secara keseluruhan dasar dan ketetapan di dalam kenyataan media YAB PM tersebut.

“Mungkin ada yang keliru kerana tidak membaca keseluruhan kenyataan media tersebut dan tertanya-tanya sama ada boleh kedai boleh beroperasi dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

842
Kongsi :
Previous post Melaka antara negeri tertinggi rakyat daftar vaksinasi
Next post Mana hilangnya lebih 4,000 pekerja asing?
Ubah saiz-+=