Agong berkenan peletakan jawatan PM, lantik Muhyiddin sebagai ‘caretaker’ PM
KUALA LUMPUR 16 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah ShahSeri Paduka Baginda berkenan menerima surat peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan
serta-merta berkuat kuasa pada hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata susulan itu Seri Paduka Baginda turut berkenan supaya Mahiaddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
“Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli ewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md Yasin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik CovID-19.
“Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. Yasin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa sehingga 10 Ogos, 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negei, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon
merah CoVID-19.
Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang
membimbangkan.
“Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID- 19.
“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.