Sorting by

×

Pergerakan PM Muhyiddin jadi tumpuan

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Pergerakan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya petugas media susulan perkembangan politik semasa negara.

Perdana Menteri ketika dibawa keluar dari kediamannya di Bukit Damansara pada 7.42 pagi ini dilihat melambai ke arah media yang telah berada di sekitar kawasan itu sejak awal pagi.

Beliau kemudian tiba di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8.07 pagi, dijangka untuk menghadiri mesyuarat khas Kabinet.

Turut kelihatan tiba di bangunan itu, kenderaan-kenderaan membawa Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

SEBAHAGIAN petugas media yang menunggu kehadiran perdana menteri di laluan masuk ke bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Di PUTRAJAYA, Muhyiddin yang tiba di bangunan Perdana Putra itu melambai ke arah petugas media yang berkumpul sejak 7 pagi.

Turut kelihatan kenderaan-kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba di bangunan itu.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam, satu mesyuarat khas Kabinet akan diadakan pada Isnin (hari ini) tanpa memperincikan agenda pertemuan tersebut.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dilaporkan berkata Muhyiddin dijangka membuat satu pengumuman khas hari ini.

Kenderaan-kenderaan yang dinaiki menteri-menteri Kabinet mula dilihat memasuki Perdana Putra sejak 9.30 pagi.

Antara yang kelihatan ialah kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut kelihatan kenderaan yang membawa menteri-menteri kanan iaitu Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Kenderaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga memasuki bangunan itu.

Sementara itu, kenderaan membawa Peguam Negara memasuki Pintu Utama Istana Negara pada 10.47 pagi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kawasan itu mula dipenuhi pengamal media tempatan dan antarabangsa seawal 8 pagi bagi menunggu ketibaan Perdana Menteri yang dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong tengah hari ini.

Anggota polis turut meningkatkan kawalan di pintu-pintu masuk Istana Negara selain meletakkan kon penghadang bagi memastikan petugas media yang membuat liputan menjaga penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post Petugas media ‘berkampung’ di Istana Negara
Next post 32.9 peratus daripada populasi negara lengkap dua dos vaksin setakat semalam- Dr Adham
Ubah saiz-+=